ANDA suka minum susu kultur? Tahukah anda, kenapa susu itu disebut sebagai susu kultur? Siapakah yang menciptanya? Lazimnya, kita ketahui perkataan kultur itu sebagai proses menanam atau memasukkan. Namun, apakah unsur yang ditanam atau dimasukkan ke dalam susu tersebut?
Sebenarnya, itulah kuman iaitu organisma halus dalam udara yang tidak dapat dilihat dengan mata masar. Umumnya, kuman dianggap sebagai unsur yang mendatangkan penyakit. Tetapi, ada beberapa variasi kuman atau mikroorganisma ini yang membawa manfaat kepada manusia.
Seorang saintis dari Rusia bernama Ilya Ilyich Metchnikoff memulakan kajian mengenai perkara ini sekitar tahun 1857. Beliau mengemukakan sebuah teori bahawa mikroorganisma baik mampu memanjangkan usia manusia.

Demi membuktikan teori itu betul, Metchnikoff melakukan kajian terperinci lalu terhasillah sebuah tesis yang membuktikan teori mikrob asid laktik mampu memanjangkan usia manusia. Kajiannya itu kemudian dibentangkan di persidangan perubatan dunia.
Seperti yang dijangka, penemuan itu dianggap mendahului zaman apabila ahli majlis pemilih anugerah Nobel sepakat mengangkat tesis dan teori tersebut sebagai penemuan ulung dunia sains dan Profesor Metchnikoff diberi anugerah Nobel dalam kategori perubatan pada tahun 1908.
Selepas penemuan itu, rata-rata saintis mula mengkaji sifat-sifat bakteria baik dan banyak tesis telah dihasilkan dengan pelbagai penemuan. Malangnya, tidak seorang daripada pengkaji ini berfikir untuk membiakkan bakteria-bakteria baik ini.
Ada beberapa orang saintis mula berfikir tentang bagaimana caranya untuk mengembangkan kebaikan kuman baik ini kepada tubuh manusia. Mereka tahu, cara terbaik untuk memasukkan bakteria baik ini dalam tubuh manusia adalah melalui makanan, tapi bagaimana cara memisahkan semua mikrob yang ada dalam asik laktik untuk mendapatkan mikrob yang kuat dan mampu bereaksi menentang bakteria jahat.
Proses tapisan ini dalam sains disebut sebagai strain. Ia memerlukan ketelitian dan kajian mendalam terutama pada sifat-sifat mikrob yang hendak dipilih itu perlulah kuat dan mampu hidup lama.
Berdasarkan teori asal, asid laktik mengandungi bakteria baik dengan banyak melalui proses pasteur. Tapi semua bakteria ini perlu dipisahkan dan ditapis kerana ada di kalangan bakteria ini lemah dan akan mati dengan cepat. Apabila keadaan ini berlaku, ia akan menjadi toksik dan proses kebaikan tidak sampai kepada manusia. Jadi usaha untuk memisahkan semua bakteria ini dan menapisnya perlukan kajian teliti dan mendalam. Inilah halangan yang sukar ditembusi saintis zaman tahun 1920-an.
Pada tahun 1930, di fakulti perubatan Universiti Kyoto di Tokyo, Jepun, seorang doktor perubatan bernama Dr. Minoru Shirota bersungguh-sungguh menapis bakteria daripada Asid Laktik untuk mendapatkan strain yang kuat dan berguna pada tubuh manusia.

Tanpa siapa sangka, dia berjaya menjumpai strain bakteria jenis Lactobacillus casei. Berita gembira itu disambut dengan semangat berkobar-kobar termasuk bekas penyelia kajian ini yang bernama Profesor Kiyono.
Penemuan itu dianggap hebat kerana belum pernah berlaku. Lantas, Universiti Kyoto mendaftarkan strain yang baru ditemui itu sebagai Strain Shirota dengan nama penuh Lactobacillus casei strain shirota.
Mengapa Dr. Minoru Shirota begitu bersungguh-sungguh mendapatkan strain itu, sedangkan pengkaji sebelum ini iaitu Profesor Kiyono pun masih belum berjaya lagi mendapatkan strain Lactobacillus yang kuat sedangkan beliau terlebih dahulu mengkaji Lactobacillus casei?
Kesungguhan Shirota sebenarnya banyak dimotivasikan oleh kisah tempat lahirnya iaitu di Nagano, Jepun. Berdasarkan kepada fakta-fakta yang ditemui, Dr. Minoru Shirota dilahirkan di sebuah kawasan yang kurang subur. Di sini, ramai petani miskin dengan hasil pertanian tidak menjadi dan mereka sering mendapat pelbagai penyakit.
Sejak kecil Dr. Shirota sering mendapat berita kematian kanak-kanak yang mati akibat kuman Tifus dan Disentri. Sebab itulah dia belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi doktor perubatan. Tujuannya adalah mengubati penyakit yang menular orang ramai.
Setelah belajar di sekolah perubatan, dia akhirnya bertemu dengan punca penyakit iaitu mikro organisma atau kuman. Berbekalkan semangat falsafah ‘mencegah lebih baik daripada merawat’, Dr. Shirota bersungguh-sungguh melakukan kajian terhadap Lactobacillus casei hinggalah dia menemui strainnya sendiri.
Daripada penemuannya itu, maka terhasillah minuman susu kultur Yakult yang dikenali di seluruh dunia.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

