khianat perbuatan dibenci Allah
Sekadar gambar hiasan

Islam menyeru umat manusia menjalani kehidupan yang mulia dan bermartabat. Kehidupan seperti itu hanya diperoleh dengan amanah dan tadhiyyah (pengorbanan). Sifat dan karakter orang Islam adalah amanah.

Ini yang membezakan mereka dengan orang kafir. Justeru itu, jika sebagai seorang Islam tidak membawa karakter yang selayaknya, tidak ada bezanya dia dengan golongan kafir. Tempat selayaknya adalah neraka jahanam.

Balasan ini sesuai kerana impak dari tindakan khianat yang dilakukannya itu menyebabkan pelbagai kerosakan berlaku. Ini sebagaimana yang pernah berlaku terhadap beberapa kerajaan serta tamadun yang pernah ada satu ketika dahulu. 

Setiap yang mengaku Islam, mereka sebenarnya diikat dengan janji yang diungkap kepada Allah melalui syahadah. Mereka wajib memenuhi janji tersebut agar tidak mendapat kutukan dan celaan dari Allah. Dalam surah Yusof: 52 Allah berfirman,

“Dan bahawasanya Allah tidak meredai tipu daya orang-orang yang berkhianat”

Ayat ini menjelaskan kepada kita perbuatan khianat sememangnya tidak akan mendapat keberkatan dari Allah selama mana kita hidup di dunia.

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat” surah al-Hajj: 38

Khianat berlaku dalam pada apa jua keadaan seperti seorang yang bergelar suami, maka isteri dan keluarga adalah amanahnya. Mereka perlu diberikan perlindungan keselamatan dan nafkah yang selayaknya meliputi keperluan fizikal, spiritual, mental dan emosi. Jika keperluan ini diabaikan, dia telah mengkhianati amanah perkahwinan yang dia lafazkan sewaktu bernikah dahulu.

Begitu juga dalam lapangan kerjaya, sebagai seorang yang diberikan amanah dan tanggungjawab dalam setiap kerja atau tugasan, menjadi kewajipan bagi mereka melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin. Jujur dalam setiap tindakan dan tugas supaya setiap kerja yang dilaksanakan itu mendapat keberkatan dari Allah.

Budaya kronisme yang membarah dalam masyarakat juga perlu dihapuskan kerana mendapat kemurkaan Allah sebagaimana sebuah hadis dari Ibnu Abbas r.a. dari Baginda s.a.w. menyatakan,

“Barangsiapa yang mengambil seseorang untuk bekerja di sebuah jabatan kerana ada hubungan kekeluargaan padahal ada orang lain yang lebih disukai Allah, maka dia telah berlaku khianat pada Allah dan Rasul” (HR al-Hakim)

Banyak yang berlaku hari ini tidak jujur dengan pekerjaan mereka. Ada yang culas dengan kerja yang dilakukan. Membeli MC walau tidak sakit, ponteng kerja, produktiviti kurang dan pelbagai lagi ragam.

Bukan sekadar itu, bahkan lebih teruk lagi sekiranya ada di kalangan penguatkuasa yang mengkhianati tugas yang dipertanggungjawabkan hingga mendedahkan rakyat dan negara kepada ancaman bahaya.  

Ia merupakan pintu masuk bagi kejelekan dan tempat tumbuhnya segala keburukan dan kejahatan. Apabila sifat ini telah menyebar dalam kalangan masyarakat maka akan rosaklah segala sistem dalam diri masyarakat tersebut. Dari situ akan muncullah penguasa-penguasa yang zalim, pegawai-pegawai yang korup yang akan menghancurkan sendi-sendi keadilan dalam masyarakat.

Satu lagi fenomena yang sedang menular dalam masyarakat hari ini adalah suka berkongsi apa sahaja yang baik atau buruk dalam media sosial. Terdapat suami atau isteri yang suka berkongsi keburukan pasangan di facebook, tweeter atau whats up dan lain-lain.

Tindakan ini sebenarnya merupakan satu pengkhianatan yang besar terhadap pasangan kerana dalam Islam setiap keburukan pasangan hendaklah ditutup. Bukan pasangan suami isteri sahaja, tetapi merangkumi sesiapa sahaja.

Sekalipun ada kekurangan atau kelemahan yang berlaku terhadap mana-mana individu atau organisasi, media sosial bukanlah tempat dijadikan untuk menegur kesilapan tersebut tetapi gunalah saluran yang betul.

Perbuatan ini jelas perbuatan yang keji dan buruk termasuk dalam dosa besar, kerana bukan sahaja timbul fitnah permusuhan, malah merosakkan agama. Secara tidak langsung imej Islam akan hancur.

Ini yang boleh kita lihat di media-media massa sekarang, berlakunya kes-kes pecah amanah yang melibatkan umat Islam. Ironinya persepsi orang bukan Islam akan melihat agama Islam adalah agama yang rendah akhlaknya dan menghalalkan khianat.

Justeru itu amat tepatlah firman Allah yang disebutkan di atas bahawa orang yang melakukan khianat tidak akan selamat hidupnya dunia akhirat kerana perbuatan tersebut jelas dibenci dan tidak sesekali diredai Allah. Semoga kita dijauhkan dari perbuatan ini, wallahu a’lam.

____________________________________________-

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’