Khianat adalah sifat keji yang terdapat dalam diri manusia. Khianat disinonimkan dengan tipu daya, tidak setia dan derhaka. Antara ciri khianat adalah orang yang menyeru kepada kebaikan tetapi dia sendiri tidak melakukan kebaikan tersebut.
Dalam kitab Riyadus Solihin menjelaskan bahawa seksaan kepada orang yang banyak menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran sangat berat, sekiranya dia sendiri lalai dalam mengerjakan kebaikan itu sebagaimana yang dianjurkannya kepada orang lain.
Mereka yang melakukan khianat ini kelak di neraka akan mendapat seksa. Tubuh mereka akan dilemparkan dengan sangat kuat hingga ususnya terkeluar dan mereka kekal dengan berputar-putar di neraka.
Hadis dari Abu Zaid (usamah) bin Zaid bin Harits r.a. berkata.
“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “seseorang dihadapkan di hari kiamat kemudian dilemparkan ke dalam neraka maka keluar usus perutnya lalu berputar-putar di dalam neraka bagaikan himar yang berputar di sekitar penggilingan.
Maka berkerumunlah ahli neraka padanya sambil berkata, “hai fulan, mengapakah engkau? Tidakkah dahulu menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran?” Fulan menjawab, “benar! Aku dahulu menganjurkan kebaikan tetapi tidak aku kerjakan dan mencegah mungkar tetapi aku sendiri kerjakannya.” (HR Bukhari Muslim)
Sifat khianat berkaitan dengan keimanan. Ini kerana iman merupakan amanah. Barang siapa yang berkhianat dan mensia-siakan amanah bererti dia telah mensia-siakan iman. Orang yang tidak beriman sudah tentu tidak akan mendapat keberkatan dalam hidupnya.
Ini disyariatkan Baginda s.a.w. yang diriwayatkan dari Anas b. Malik r.a.
“Suatu ketika Baginda s.a.w. berkhutbah di hadapan kami, dalam khutbahnya Baginda bersabda, “tidak ada iman bagi yang tidak memiliki sifat amanah. Dan tidak ada agama bagi yang tidak menepati perjanjian” (HR Ahmad)
Darjat Dinaikkan
Kita sesama manusia darjatnya sama. Semuanya makhluk dan hamba Allah. Tidak ada kelebihan atau keunggulan atas orang lain atau bangsa lain di hadapan Allah. Apa pun bangsanya, warna kulitnya, bahasanya, kedudukannya atau status sosial ekonominya, semuanya sama sahaja.
Yang membezakan adalah ketakwaan. Dan itulah yang menjadi ukuran Allah sebagaimana mafhum Nya,
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu” surah al Hujurat: 13.
Oleh kerana itu kita tidak boleh melakukan kezaliman atau penganiayaan kepada orang lain. Perbuatan ini sangat bertentangan dengan fitrah seorang manusia. Allah sendiri tidak pernah berbuat zalim kepada hamba Nya yang kufur kepada Nya, apatah lagi kita sebagai manusia biasa.
Orang yang teraniaya walau melakukan keburukan, tetap akan diberikan kelebihan atas derita yang dialaminya. Darjat mereka akan dinaikkan dan segala doa yang mereka ucapkan akan terus didengari dan dikabulkan Allah tanpa ada hijab yang menghalang.
Ini yang disebutkan oleh Ibnu Abbas r.a. yang meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. telah mengutus Muaz ke Yaman dan beliau berkata kepadanya,
“Takutlah kamu akan doa seorang yang terzalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah” (HR Bukhari & Muslim)

Baginda s.a.w. turut menyebutkan tentang dosa yang disegerakan balasannya,
“Tidaklah sebuah dosa yang lebih pantas untuk disegerakan balasannya di dunia dan juga disimpan di akhirat dibandingkan dosa memutuskan silaturrahim, khianat dan juga berdusta. Dan sesungguhnya amalan ketaatan yang paling disegerakan pahalanya adalah menyambung silaturrahim.
Sesungguhnya dengan silaturrahim keluarga akan bahagia, harta akan melimpah dan jumlah keluarga akan bertambah jika mereka saling menyambung tali silaturrahim.” (disahihkan al-Albani dalam sahih al-jami’)
Sementara itu, jika seseorang mendedahkan kepincangan atau keburukan sesuatu perkara dengan niat untuk menyedarkan masyarakat, seperti isu penipuan produk makanan, tentang halal haram sesuatu perkara atau sebagainya maka seandainya yang diviralkan itu bertentangan dengan agama atau harus dibongkarkan contoh kedai atau premis makanan yang ada syubhah atau benda haram, ia boleh dibongkarkan tetapi mestilah melalui saluran yang betul.
Tujuannya agar boleh dibuat siasatan yang terperinci dengan menghukum pada fakta yang sahih bukan berlandas pada persepsi yang membuta tuli hingga mengaibkan atau menghancurkan sesebuah premis atau maruah orang.
Kita boleh mendedahkan untuk maslahah umum, tetapi tidak boleh mengaibkan atau merosakkan perniagaan orang lain seperti kes jualan ayam yang tidak halal di pasaraya Giant atau kes coklat Cadbury satu ketika dahulu. Perlu ada fakta yang betul dan sahih dari agensi yang pakar sebelum diwar-warkan kepada masyarakat.
Perkara yang hendak kita buat, atau viral ini, perlu dipastikan tidak mendatangkan mudarat yang besar kepada masyarakat kerana dalam Islam mengelakkan mudarat yang besar lebih diutamakan dari manfaat yang ada.
Jangan sesekali mengambil jalan mudah dengan terus menghukum dan memviralkan tanpa ada bukti yang sahih dari pihak yang selayaknya. Ia nampak ringan tetapi sebenarnya menjadi pintu yang besar mengundang fitnah dan perpecahan.
Begitu juga dengan berkongsi atau memviralkan kelemahan atau kepincangan institusi atau majikan tempatnya bekerja dengan niat untuk menjatuhkannya, itu juga dianggap mengkhianati amanah yang diberikan. Sedangkan sebagai seorang pekerja mereka tertakluk dengan akta atau akujanji untuk tidak mengkhianati tugas dan amanah yang dijawatnya.
Dalam menjalin persahabatan pula, seorang yang dinamakan sahabat tidak akan mengkhianati sahabatnya hanya semata-mata untuk mencari keuntungan peribadi. Pengkhianat ini umpama seorang kawan yang tangan kanan memaut mesra bahu rakannya, tapi dalam masa yang sama tangan kirinya memegang pisau bersedia untuk menikam dari belakang. Inilah yang dikehendaki oleh syaitan.
Walaubagaimanapun berbeza jika seseorang itu melakukan kesalahan dan dibongkarkan pula rakan yang lain dengan tujuan untuk menyelamatkan dirinya sendiri atau mencegah nahi mungkar, dalam situasi ini sebenarnya hidayah itu milik Allah.
Dorongan yang Allah gerakkan terhadap rakan itu mungkin juga menjadi penyebab ia tidak tersesat semakin jauh melakukan kemungkaran. Dan jika tidak didedahkan akan menyebabkan akibat yang lebih buruk lagi.
Hakikatnya, kita kena jelas bahawa setiap perkara itu ada hikmah yang telah Allah tetapkan tanpa kita sedar. Mana tahu dengan tertangkapnya kita hingga masuk ke dalam penjara akan menjadikan hubungan dengan Allah semakin dekat.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah reda dengan segala ketentuan Allah dan lihat kembali dalam diri bahawa setiap balasan atau ganjaran yang diperoleh di dunia ini bertitik tolak dari tindakan kita sendiri sebagaimana dalam firman Allah dalam surah al-Zalzalah: 7 dan 8,
“Maka sesiapa yang berbuat kebajikan walau seberat zarah nescaya akan dilihatnya. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya”
Sebaik-baik percaturan adalah percaturan Allah kerana Dia yang lebih mengetahui segalanya. Wallahu a’lam
_________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’