Sebelum tidur, wanita bernama ibu sudah sibuk menyediakan makanan untuk keluarganya yang akan bersahur kelak untuk suami dan anak-anaknya. Entah pukul berapa baru dia dapat tidur. Ada kalanya suami dan anak-anaknya sudah lama tidur, baru dia dapat meletakkan kepalanya di atas bantal.

Tetapi kemudian dia bangun lebih awal daripada yang lain. Sebelum waktu sahur kerana perlu sediakan makanan yang telah ditetapkan pada malam itu. Apabila kira-kira pada masa yang sesuai barulah dikejutkan mereka yang lain, suami dan anak-anaknya.

Setiap hari seperti ini sepanjang bulan Ramadan, tidakkah ia meletihkan?

Kerja-kerja rumah sepanjang bulan puasa tidak berkurangan, malah bertambah. Selepas Zuhur bermula semula proses menyediakan makanan.

Puasa bermaksud menahan lapar dan dahaga. Tetapi kerenah untuk menyediakan makanan amat besar dan pelbagai berbanding waktu bukan bulan puasa.

Persediaan untuk berbuka mengambil masa lama. Perlu pergi ke pasar atau kedai untuk membeli barang-barang keperluan bagi memasak. Semuanya dilakukan dengan segera kerana perlu tepat waktunya apabila semua ahli keluarga berada di rumah, juadah berbuka sudah tersedia.

Selepas berbuka, ketika suami dan anak-anak berehat, ibunya masih bertungkus-lumus, untuk mengemas dan membersihkan dapur. Ketika itu bukan waktu rehat. Dengan tenaga baru yang diperoleh melalui makanan waktu berbuka, ia digunakan untuk kerja-kerja rumah yang lain.

Suami dan anak-anak lelaki kemudian pergi sembahyang tarawih. Sememangnya si ibu ini mendapat pahala kerana membolehkan keluarganya berpuasa secara sempurna, siap dengan pergi tarawih. Tetapi teringin juga dia mahu beribadat seperti suami dan anak-anak lelakinya. Maka digagahkan juga untuk sembahyang tarawih.

Bayangkan setelah penat berbuat kerja rumah sepenuhnya, dia juga pergi tarawih, tentu besar tenaga yang dimilikinya. Setelah pulang dari tarawih, kesemuanya tentu sama-sama penat tetapi suami dan anak-anak boleh tidur ketika dia kena menjenguk dapur sebelum semuanya selesai.

Itu kalau si ibu suri rumah. Andai kata dia juga bekerja seperti suaminya. Maka kerja di rumah menjadi lebih membebankan kerana kesuntukan masa dan tenaga. Bayangkan dia kena membuat banyak persediaan sebelum pergi kerja setiap hari. Begitu juga selepas pulang dari kerja. Persiapan perlu dibuat untuk berbuka. Sungguh memenatkan. Mereka yang mempunyai pembantu rumah mungkin berasa lega sedikit tetapi tidaklah boleh lepas tangan begitu saja.

Sebulan bersusah seperti ini. Tetapi dua minggu sebelum semua ini berakhir, keadaan bertambah memenatkan lagi. Persediaan untuk Hari Raya perlu dibuat. Daripada soal makanan hinggalah kepada pakaian dan hiasan rumah. Hujung minggu dihabiskan untuk membelah-belah. Duit satu hala.

Tetapi kerenah dan penat lelah itu menambahkan beban sedia ada. Seronok tu memang seronok, tetapi stres tidak boleh dibayangkan. Itu belum kira lagi stres dalam menyediakan persiapan untuk pulang ke kampung, dan segala yang berkaitan dengannya. Perancangan perlu dibuat dan rundingan yang teliti serta rumit perlu dilakukan dengan suami. Bagi yang berlainan negeri, pastinya rundingan tolak ansur dengan suami menjadi begitu penting.

Semuanya ini menambah stress dan boleh menimbulkan rasa marah dan tidak senang dalam keluarga jika kesabaran tidak ditanamkan dengan kuat. Sedangkan bulan Ramadan ini merupakan latihan untuk bersabar.

Sememangnya suami dan anak-anak perlu membantu bagi meringankan bebanan. Tetapi cuba lihat tidakkah amalan keluarga Melayu dalam bulan Ramadan banyak mengandungi kegiatan yang hanya memebankan dan memenatkan?

Perlukan setiap Ramadan, kehidupan dijalankan oleh masyarakat Melayu dengan penuh stres dan tidak selesa sedangkan bulan ini sepatutnya menjadi tempoh kerohanian yang tenang dan menginsafkan?

Adakah orang Melayu terlalu obses tentang makanan bagi bulan puasa dan Hari Raya hinggakan semangat sebenar tenggelam dengan kesibukan masing-masing untuk menghabiskan bulan Ramadan itu?

Adat dan amalan masyarakat sukar diubah. Tetapi mesti ada permulaan bagi membolehkan umat Islam hidup dengan lebih selesa pada bulan Ramadan.