Mengakui akan kepentingan media sosial, pelakon popular Azrel Ismail menyatakan ia satu perkembangan yang bagus dalam dunia kandungan sosial. Walau bagaimanapun ulasnya konten yang dicipta haruslah positif walaupun mengikut apa yang sedang trending, lebih-lebih lagi di laman TikTok.

“Sebenarnya ia bagus dan saya akui selalunya untuk membuat konten media sosial terutamanya TiktTok, saya akan melihat apa yang sedang trending kerana ia akan meningkatkan bilangan pengikut dan likes di media sosial. Lebih-lebih lagi TikTok merupakan media sosial paling popular ketika ini.

“Saya sendiri gembira jika konten yang saya kongsikan mendapat likes dan komen yang banyak, namun harus diingat, konten yang dicipta haruslah positif,” ulasnya ketika ditemui pada pembukaan butik Hacket London di IOI City Mall 2 baru-baru ini.

Menyeru golongan wanita terutamanya agar tidak menjual maruah semata-mata untuk mendapatkan pengikut di media sosial, ulas pelakon berusia 39 tahun ini, content creator seharusnya lebih kreatif dalam mencipta kandungan yang positif.

“Namun untuk mendapatkan followers, jangan sampai menjual maruah terutamanya di Malaysia. Jika orang di luar negara mungkin ia bukanlah masalah besar. Cuba cipta konten yang lebih bermaruah dan bermanfaat, jangan jual maruah dan seksi sangat. Hindarkan perkara sebegitu. Banyak sebenarnya idea yang lebih sopan,” ulasnya kepada Wanita.

Terdahulu, Azrel ditemui ketika pembukaan butik Hacket London di IOI City Mall 2 baru-baru ini dan menyatakan keterujaan apabila terus kekal menjadi antara wajah Hacket London di Malaysia.

“Saya antara selebriti terawal Malaysia dan ini merupakan tahun ketiga bersama Hacket London. Apa yang menarik mengenai Hacket London, seleksi pakaiannya cukup selesa dan kolaborasi bersama Aston Martin dan Jenson Button membuatkan koleksi Hacket cukup istimewa,” ulasnya lanjut.