JUMLAH kematian akibat penyakit tibi di negara ini mencatatkan peningkatan tahun lalu iaitu sebanyak 2,572 kematian.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, kadar yang direkodkan itu adalah nisbah 7.9 kematian bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 6.9 setiap 100,000 tahun sebelumnya.
Malah, kata beliau, jumlah kematian ekoran penyakit itu juga naik 12 peratus sebanyak 284 berbanding 2,288 pada tahun 2021.
Menurut Dr Zaliha, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar insiden tibi bagi Malaysia adalah 97 setiap 100,000 penduduk.
Namun begitu, beliau memaklumkan, kadar insiden yang dilaporkan di negara ini adalah lebih rendah iaitu 25,391 kes pada tahun 2022 dengan kadar notifikasi 77.8 bagi setiap 100,000 penduduk.
“Sehubungan itu, usaha bagi meningkatkan kadar pengesanan kes melalui saringan awal penyakit tibi perlu ditingkatkan.
“Individu yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti penyakit tibi seperti kontak kepada kes tibi, pesakit HIV, penyakit buah pinggang kronik, penyakit pulmori kronik jenis obstruktif dan perokok aktif adalah dinasihatkan melakukan saringan penyakit tibi.
Baca artikel berkaitan: Kertas Putih Kesihatan permulaan reformasi sistem kesihatan negara – Dr Zaliha
“Bagi mengurangkan komplikasi kematian, individu yang mempunyai tanda dan gejala penyakit tibi seperti batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu; demam; berpeluh waktu malam; kurang selera makan; susut berat badan dan batuk berdarah diminta menjalani pemeriksaan awal dan rawatan di klinik-klinik kesihatan serta hospital berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Tibi Sedunia 2023 dengan tema ‘Yes! We Can End TB!’.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, rawatan bagi penyakit tibi paru-paru adalah kombinasi ubatan antibiotik anti-tibi yang perlu diambil setiap hari selama enam bulan.
Katanya, individu yang dijangkiti tibi boleh sembuh dengan mengambil rawatan yang telah diberikan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pesakit yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan agar semua pesakit sentiasa mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan dan berbincang dengan penyelia rawatan jika menghadapi sebarang masalah atau kesan sampingan ubatan.
“Sokongan ahli keluarga, majikan, rakan sekerja dan masyarakat memainkan peranan penting bagi memastikan pesakit tidak terhenti rawatan,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

