PERIKATAN Nasional (PN) membuat keputusan untuk menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai gabungan itu disebabkan enggan mengganggu proses pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Memetik laporan FMT, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN bimbang kemasukan Pejuang ketika PRN sudah semakin hampir hanya akan mengganggu proses perbincangan kerusi.
Menurut beliau, penolakan Pejuang juga tidak memberi impak besar kepada usaha ‘penyatuan ummah’ yang sering dilaungkan Pas.
Tuan Ibrahim berkata, ia kerana Pejuang yang tewas kesemua kerusi ditandingi sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu bukan parti utama seperti UMNO atau Bersatu.
“Masa dia (Pejuang) masuk dekat PRN…parti komponen PN sudah bincang bila terima masuk ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan.
“Penyatuan ummah tidak akan berlaku sebab mereka (Pejuang) bukan parti utama seperti mana UMNO atau Bersatu.
“Walaupun Pejuang masuk pilihan raya, mereka kalah hampir semua dan akui hilang deposit,” katanya.
Pada masa sama, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian tidak menolak bahawa permohonan Pejuang untuk menyertai PN adalah bagi menyelamatkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) parti tersebut.
Buat masa ini, Pejuang mempunyai empat kerusi DUN iaitu masing-masing dua di Kedah iaitu Jitra yang diwakili Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan DUN Anak Bukit disandang Datuk Amiruddin Hamzah.
Baca artikel berkaitan: Pejuang dukacita iltizam tak pecah undi Melayu tidak disambut PN
Dua lagi kerusi DUN milik Pejuang adalah di Selangor iaitu ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli dan ADUN Kuang, Sallehuddin Amiruddin.
Tuan Ibrahim juga berpendapat Pejuang wajar dibubarkan dengan ahlinya menyertai Pas atau Bersatu jika mahu terus memperjuangkan bangsa dan agama.
“Saya jangka mereka tahu dengan bersendirian dia tak boleh pertahan kerusi itu maka dia cari gabungan lain.
“Itu lebih baik (bubar) berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya akan menimbulkan masalah,” jelas beliau.
Selasa lalu, usaha Pejuang menjadi sebahagian komponen PN tidak kesampaian setelah permohonnnya ditolak.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, keputusan tersebut dibuat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Amiruddin yang juga Setiausaha Agung Pejuang dalam kenyataan balas menyatakan rasa dukacita dengan keputusan tersebut kerana beranggapan penolakan itu menunjukkan PN tidak mahu bersatu dalam undi Melayu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram