Jumaat sebaik hari bersedekah

Hari apa yang paling utama bersedekah? Bulan bilakah yang paling baik? Bilakah waktu yang baik untuk bersedekah. Secara umum, semua hari baik untuk bersedekah. Namun hari yang paling baik untuk menghulurkan sedekah ialah hari Jumaat.

Imam as-Suyuthi dalam kitab 100 Kelebihan Hari Jumaat. Katanya, hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Apabila bersedekah pada hari Jumaat akan dilipat gandakan pahalanya kerana kelebihan hari Jumaat itu sendiri berbanding hari lain.

Kelebihan hari Jumaat memang diutamakan untuk bersedekah tambah-tambah kalau kita yakin bahawa ada kesempatan untuk bersedekah pada hari tersebut. Namun jika kita tidak yakin akan punya kelapangan pada hari Jumaat maka lebih baik sedekah itu disegerakan tanpa mengira hari. 

Disebabkan kita sudah mengetahui bahawa kelebihan hari Jumaat, maka jadikan ia satu rutin. Mulakan setiap kali Jumaat dengan sedekah, jadikan ia disiplin dan kena tegas dalam soal sedekah. Kena amalkan selalu hingga ia menjadi satu sifat yang baik. Kalau tidak dilakukan seperti itu maka kita akan ketinggalan.

Ibn Qayyim mengatakan, sedekah pada hari Jumaat itu lebih besar pahalanya daripada sedekah pada hari lain.

“Sesungguhnya sedekah yang dikeluarkan pada hari Jumaat mempunyai kelebihan berbanding pada hari-hari lain. Bersedekah pada hari Jumaat nisbah kepada hari-hari lain dalam seminggu samalah dengan sedekah yang dikeluarkan dalam bulan Ramadan nisbah kepada yang dikeluarkan dalam bulan-bulan lain dalam setahun.”

Kemudian ditambah pula jika hari Jumaat itu berada dalam bulan Ramadan, keistimewaan bersedekah akan ditambah kerana kelebihan bulan tersebut. Ada hadis riwayat at-Tirmidzi, ditanya kepada Rasulullah s.a.w.

“Sedekah apakah yang paling afdal?” Baginda menjawab, “Sedekah pada bulan Ramadan.”

Sebab bulan Ramadan adalah bulan ibadah, keberkatannya berlipat kali ganda. Kenapa paling afdal? Ini kerana dalam bulan Ramadan fakir miskin turut berpuasa dan mereka dalam keadaan lemah untuk mencari nafkah disebabkan berpuasa.  Sedekah yang dihulur itu mampu menggembirakan hati fakir.

Ada satu hadis, Rasulullah bersabda,

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikit pun mengurangi pahalanya.” (HR at-Tirmidzi).

Sebaik-baik sedekah adalah dalam bulan Ramadan kerana bulan itu sendiri yang paling mulia antara seribu bulan. Pada bulan itu diturunkan al-Quran, diwajibkan berpuasa, bulan di mana orang tidak bercerita tentang makan pada waktu siang dan berbuat kemungkaran.

Kelebihan bersedekah pada bulan Ramadan yang dijanjikan adalah tambahan pahala puasa daripada orang lain. Orang bersedekah akan mendapat pahala puasa berganda, siapa yang tidak mahu?

Pada bulan Ramadan Allah memudahkan hamba Nya untuk berbuat kebaikan sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Jika datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (HR Bukahari & Muslim).

Bukankah itu jalan yang telah Allah berikan untuk memudahkan kita untuk melipatgandakan ibadah dan amal kebaikan tanpa ada gangguan daripada syaitan, pintu syurga dibuka serta pintu neraka di tutup. Semua orang akan mengejar untuk melakukan ibadah tambah-tambah pada malam Ramadan ada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu malam lailatulqadar. Malam yang dibuka pintu langit, dimakbulkan doa dan diampunkan dosa, itulah keberkatan Ramadan yang tidak ada pada bulan lain.

Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling dermawan di muka bumi ini terutamanya pada bulan Ramadan.  Hadis daripada Ibn Abbas,

“Rasulullah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawan Rasulullah s.a.w. melebihi angin yang berhembus.” (HR Bukhari).

Pada bulan Ramadan, Rasulullah sering ditemani Jibril yang mengajarkannya al-Quran. Rasulullah lebih dermawan pada bulan Ramadan kerana kegembiraan dan keseronokannya dengan kehadiran Jibril. Maka Baginda menjadi lebih dermawan.

Kerana keseronokan itulah menjadikannya bersedekah sebagai tanda kegembiraan. Hinggakan digambarkan kedermawaan Rasulullah itu melebihi angin yang berhembus. Diibaratkan begitu kerana Rasulullah sangat mudah memberi, pantas menghulurkan tanpa banyak berfikir sebagaimana angin yang berhembus cepat.

Tangan kanan Rasulullah seperti angin yang berhembus iaitu ringan menghulurkan apa yang orang lain minta, memberi segala yang ada tanpa takut akan kemiskinan dan tidak meminta banyak daripada apa yang telah diberikan kepadanya dan tidak memandang sedikit pemberian Allah. Wallahu a’lam

________________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’