UNITED Kingdom (UK) hari ini mengumumkan penyempurnaan rundingan perdagangan dengan negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yakni kawasan perdagangan bebas yang merangkumi Indo-Pasifik, selepas rundingan selama 21 bulan.
Blok ini mempunyai penduduk melebihi 500 juta orang dan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan mencecah £11 trilion dengan penyertaan UK.
Sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia mengikut KDNK pada tahun 2021 dan dengan pasaran 67 juta pengguna, UK merupakan pasaran yang menarik bagi Malaysia. Penyertaan UK akan membantu CPTPP mempelbagaikan rantaian bekalan negara anggota, menghapuskan halangan perdagangan dan menggalakkan lebih banyak perdagangan untuk perniagaan kami.
Penyertaan UK ke blok perdagangan dinamik ini susulan berita mengenai ratifikasi Malaysia pada November lepas – kedua-dua negara akan dapat meningkatkan capaian yang ketara kepada ekonomi dan pasaran masing-masing.
Rundingan, yang bermula pada Jun 2021, berakhir selepas siri rundingan sengit di Vietnam, dengan wakil dari semua negara anggota CPTPP bersetuju bahawa UK telah mencapai penyempurnaan dalam proses penyertaannya untuk menyertai CPTPP.
UK adalah negara Eropah pertama yang menyertai blok perdagangan dinamik ini, dan merupakan ahli baharu pertama sejak pembentukan CPTPP. CPTPP kini menjadi perjanjian global dan bukan setakat perjanijian Pasifik.
CPTPP mewujudkan peluang untuk mengukuhkan hubungan perdagangan kami di seluruh rantau Asia Pasifik, menyediakan pelbagai peluang yang berbeza dengan negara-negara yang berbeza. Keahlian CPTPP akan melengkapkan dan mengukuhkan perjanjian perdagangan dua hala sedia ada yang telah kami tandatangani, termasuk dengan Australia, Jepun, New Zealand, Singapura dan Vietnam.
Penyertaan ini akan mengurangkan tarif ke atas sesetengah eksport ke UK yang belum dihapuskan melalui perjanjian dua hala UK dengan negara-negara anggota.
Setiausaha Perniagaan dan Perdagangan UK, Kemi Badenoch berkata: “Penyertaan kami dalam CPTPP menyampaikan mesej kuat bahawa UK terbuka untuk perniagaan dan akan menggunakan kebebasan pasca Brexit kami untuk menjangkau pasaran baharu, termasuk di rantau Asia Pasifik, dan mengembangkan ekonomi kami.”
“Menyertai blok perdagangan berpengaruh ini akan membantu kami membentuk peraturan perdagangan global dengan negara-negara yang berfikiran sama, dan bekerjasama lebih rapat dalam keutamaan bersama kami iaitu kemakmuran, keselamatan dan perdagangan bebas dan adil.”
Keahlian UK juga boleh memberi manfaat kepada perniagaan dan pelabur di semua negara CPTPP melalui peraturan moden yang lebih mudah untuk menubuhkan, mengendalikan pelaburan dan menjalankan perniagaan di UK.
Hal ini juga menyampaikan petunjuk kuat bahawa UK sebagai sebuah negara perdagangan bebas yang akan terus memperjuangkan perdagangan yang bebas dan adil, memerangi perlindungan dan menghapuskan halangan untuk berdagang dalam setiap peluang, membantu mengukuhkan sistem antarabangsa berasaskan peraturan.
Lima siri rundingan secara bersemuka telah diadakan antara ketua perunding UK dengan CPTPP, dengan banyak lagi rundingan antara sesi dan dua hala diadakan bersama, dan dalam siri rundingan terakhir di Vietnam sahaja lebih daripada 150 perwakilan dari semua negara anggota CPTPP telah mengambil bahagian.
Sebagai salah satu kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, CPTPP menyumbang 12 peratus daripada KDNK global pada 2021. Angka ini akan meningkat kepada 15 peratus dengan penyertaan UK, seterusnya menambah nilai yang besar kepada kawasan perdagangan bebas yang besar ini.
UK dan ahli CPTPP kini akan mengambil langkah terakhir yang diperlukan untuk membolehkan UK menandatangani perjanjian secara rasmi pada tahun 2023.
Malaysia adalah salah satu ahli CPTPP yang tidak mempunyai perjanjian dua hala dengan UK pada masa ini, jadi penyertaan kedua-dua negara dalam CPTPP akan menawarkan peningkatan capaian pasaran yang ketara kepada ekonomi masing-masing.
Potensi peningkatan perdagangan antara UK dengan Malaysia, disokong oleh penghapusan halangan perdagangan boleh menyokong pertumbuhan selanjutnya, dan menyumbang kepada kemakmuran kedua-dua negara.
Penyertaan UK dalam CPTPP boleh menyediakan capaian pasaran yang jauh lebih baik kepada pasaran Malaysia. Perniagaan UK, yang mengeksport barangan dan perkhidmatan bernilai £3.3 bilion ke Malaysia dalam tempoh 12 bulan hingga akhir September 2022, boleh mendapat manfaat daripada perjanjian keutamaan yang ditawarkan oleh ahli CPTPP antara satu sama lain.
Penyertaan UK dalam CPTPP juga bermakna capaian pasaran Malaysia yang jauh lebih baik kepada pasaran UK. UK adalah negara kelima terbesar di dunia berdasarkan KDNK dan mempunyai lebih daripada 67 juta pengguna. UK juga merupakan sumber kelima terbesar untuk saham Pelaburan Langsung Asing (FDI).
UK mengimport barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira £2.6 bilion dari Malaysia dalam empat suku tahun hingga akhir suku ketiga 2022. Perniagaan dan pengguna boleh mendapat manfaat daripada tarif keutamaan yang akan ditawarkan oleh UK kepada Malaysia dalam CPTPP.
Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia, Charles Hay berkata: ” Perdagangan dua hala UK dengan Malaysia kini berjumlah £5.9 bilion, dengan trajektori pertumbuhan yang positif. Penyertaan UK dalam CPTPP akan meningkatkan capaian pasaran bagi UK dan Malaysia, dan terus membolehkan kami mencapai potensi penuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.”
Pesuruhjaya Perdagangan HM bagi Asia Pasifik, Natalie Black berkata: “CPTPP adalah salah satu perjanjian perdagangan paling progresif di dunia dan penyertaan UK akan mengubahnya daripada perjanjian Pasifik kepada perjanjian global yang betul-betul. Sebagai ahli kedua terbesar, kemasukan kami akan meningkatkan KDNK gabungan blok daripada £9 trilion hingga £11 trilion dan memberikan capaian yang lebih besar kepada 67 juta pengguna di seluruh UK.
“Pengumuman hari ini akan membantu perniagaan British mengembangkan perdagangan mereka dengan tujuh ekonomi Asia Pasifik yang dinamik, terutamanya Malaysia dan Brunei yang kini tidak mempunyai perjanjian dua hala dengan UK.” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

