PRESTASI Perdagangan Borong dan Runcit pada Februari 2026 merekodkan jumlah jualan bulanan sebanyak RM156.3 bilion, mencerminkan pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan jualan yang direkodkan pada Februari dipacu terutamanya oleh subsektor Perdagangan runcit dan Perdagangan borong.
Katanya, perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM70.1 bilion, meningkat RM5.0 bilion, mencerminkan pertumbuhan 7.7 peratus tahun ke tahun.
Di samping itu, jelas beliau, perdagangan borong merekodkan jualan sebanyak RM69.5 bilion, meningkat RM3.7 bilion, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus.
“Walau bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penurunan sebanyak RM0.9 bilion, dengan jumlah jualan berjumlah RM16.7 bilion.
“Prestasi subsektor Perdagangan runcit dipacu terutamanya oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang bertumbuh 10.4 peratus kepada RM27.6 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, pengembangan itu didorong terutamanya oleh peningkatan jualan di kedai runcit, pasar raya dan pasar mini.
Katanya pertumbuhan aktiviti runcit disumbangkan oleh perbelanjaan sempena Tahun Baharu Cina, pembayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara one-off, semakan kenaikan gaji penjawat awam serta persiapan awal menjelang bulan Ramadan.
Sementara itu, Mohd Uzir memaklumkan, jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat 7.4 peratus kepada RM14.8 bilion pada Februari 2026 disokong oleh permintaan yang lebih kukuh terhadap barangan farmaseutikal, perubatan dan ortopedik dan barang kemas.
Selain itu, katany, jualan runcit bahan api kenderaan meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM6.3 bilion.
“Jualan runcit makanan, minuman dan tembakau turut mencatatkan pertumbuhan 7.7 peratus kepada RM4.5 bilion, dipacu oleh peningkatan pembelian daging dan ikan dan makanan laut.
“Penurunan dalam subsektor Kenderaan bermotor pada bulan ini dipengaruhi oleh penyusutan sebanyak 17.1 peratus dalam Jualan kenderaan bermotor, yang berjumlah RM7.3 bilion,” katanya.
Mohd Uzir berkata, trend itu selari dengan data daripada Persatuan Automotif
Malaysia (MAA) yang melaporkan jumlah jualan kenderaan sebanyak 52,414 unit, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) merekodkan 56,690
pendaftaran kenderaan bagi tempoh yang sama.
Walau bagaimanapun, katanya, kumpulan lain dalam subsektor ini terus mencatatkan pertumbuhan positif termasuk jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (6.6 peratus), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (9.5 peratus) serta Jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (0.7 peratus), yang mencerminkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan komponen pasaran selepas jualan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

