Berikanlah anak nama yang baik, yang akan diseru di hari kiamat kelak

Dari Penulis

Setelah menyambut kelahiran seorang anak dengan penuh kegembiraan, maka tanggungjawab seterusnya si ayah ialah memberikan nama.

Nama sangat penting. Kerana itu Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil mengikut nama kamu dan nama ayah kamu. Maka perbaikanlah nama kamu.” (Riwayat Abu Daud)

Memperindahkan nama tidak hanya pada sebutan atau konotasi semata-mata. Ini banyak sekali diamalkan oleh orang yang tidak berilmu.

Maka bermacam nama yang sedap didengar tetapi kosong maknanya atau lebih teruk bermakna negatif seperti Zaniah bermakna penzina, Syarrul Bariah bermakna tempat yang buruk, Syariqah bermakna pencuri dan sebagainya.

Kalangan orang dulu-dulu menisbahkan nama dengan fizikal anak itu, seperti Hitam, Putih, Pendek dan sebagainya, atau kedudukan seperti sulung, bongsu, tengah atau sebagainya yang tidak mempunyai sebarang erti.

Implikasinya ialah nama itu doa yang akan disebut orang sepanjang hayatnya. Alangkah teruk jika ia mempunyai makna yang buruk dan alangkah baik jika sebaliknya. Nama itu pula akan diseru malaikat pada hari kiamat di hadapan seluruh manusia yang pernah hidup di muka bumi dalam bahasa yang difahami semua.

Nama-nama yang baik mempunyai beberapa ciri, antaranya mengandungi makna pujian seperti Ahmad, Muhammad (yang terpuji) atau mengandungi makna doa seperti Ali (yang tinggi), Solleh (yang baik) atau mengandungi makna semangat seperti Saifullah (pedang Allah), Aminuddin (penjaga agama) atau mengandungi sifat-sifat terpuji seperti Abdullah (hamba Allah), Abdul Ghaffar (hamba yang pemaaf) dan lain-lain.

Sekiranya kita telah menamakan anak-anak dengan nama yang kurang elok atau tidak mempunyai apa-apa makna, atau kita sendiri telah dinamakan begitu, maka tindakan yang perlu dibuat ialah menukar nama tersebut.

Hal ini tidak pelik dalam Islam tetapi pelik di kalangan orang kita kerana ianya jarang dibuat melainkan orang yang baru memeluk Islam.

Rasulullah sendiri menukar nama beberapa sahabat, antaranya Asyram (pemotong) ditukarkan menjadi Zur’ah (penanam), Harb (penyerbu) ditukarkan menjadi Salma (pententeram), Syi’buz Zolalah (golongan sesat) ditukarkan menjadi Syi’bul Huda (golongan dipimpin). Sekiranya anda kurang tahu, rujuklah mana-mana buku yang terdapat senarai Panjang nama berserta maknanya untuk anak anda yang disayangi.

Janganlah dikhianati tanggungjawab yang ringan dan mudah ini kerana implikasinya besar. Janganlah terpengaruh dengan berbagai-bagai teori nama yang tidak ada kena-mengena dengan agama kita.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

The Mangrove at Carey Circles, destinasi percutian serba lengkap di Pulau Carey

PULAU Carey merupakan sebuah pulau kecil di Kuala Langat, Selangor yang mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak sedar...

More Articles Like This