PENGARAH sensasi, Syamsul Yusof tetap dengan pendiriannya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon, Farid Kamil.
Tegas Syamsul atau Mohd Syamsul Mohd Yusof,39, dia terpaksa mengambil jalan tersebut kerana berharap dengan cara tersebut ia akan dapat membersihkan namanya yang telah tercalar.
“Saman itu tetap berjalan. Saya pun berharap Allah lembutkan hati saya untuk tarik saman…mungkinlah, saya pun tak tahu.
“Ini bukan soal siapa menang, siapa kalah. Tapi saya rasa itu adalah perkara yang patut saya ambil apabila kita berdiam diri.
“Kita buat kerja kita tapi tiba-tiba ada orang luar menganggu, mengata buruk terhadap diri kita, jadi saya perlu ambil tindakan.
“Saya ini tenang orangnya dan tak suka ada sebarang isu dengan rakan artis sebab kita berada dalam bidang yang sama. Apa perasaan anda kalau tiba-tiba ada orang kacau, kutuk anda di media sosial sebab itulah saya kena ambil tindakan undang-undang,” katanya kepada URTV.
Pada 21 Mac lalu, Syamsul membuat pendedahan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Farid selepas itu berikutan kenyataan yang pernah dimuat naik oleh suami kepad Diana Danielle itu di Instagram, baru-bawru ini.
Farid mendakwa ada seorang lelaki pernah memukul wanita bernama Diana namun tiada sebarang tindakan diambil. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan Diana yang disebut itu merujuk kepada isterinya atau sebaliknya.
Terbuka untuk jumpa Aaron Aziz
Dalam pada itu, Syamsul menolak untuk meberi sebarang kenyataan terhadap konflik antaranya dengan Datuk Aaron Aziz.
Pun begitu, Syamsul terbuka untuk bersemuka dengan Aaron sebagai jalan untuk menjernihkan kembali keadaan.
“Saya okay dan boleh saya untuk jumpa. Tiada masalah.
“Saya kalau boleh tak nak keluarkan banyak kenyataan sebab ia tak akan habis. Isu ini pun sudah saya ulas sebelum ini,” ulasnya.

Semalam, Aaron memberitahu jalan terbaik agar kemelut antaranya dan Syamsul ditamatkan akan terjadi selepas Syamsul memohon maaf kepada orang tuanya.
“Tak ada sebarang konfrontasi. Saya cakap kepada umum suruh dia minta maaf kepada orang tuanya (Datuk Yusof dan Datin Patimah),” kata Aaron.
Syamsul hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor bagi sebutan tuntutan nusyuz yang difailkannya terhadap isteri pertama, Puteri Sarah Liyana, 38.
Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan tarikh baharu iaitu 8 Mei berikutan Puteri Sarah tidak hadir atas tuntutan kerja di luar negara.
Syamsul memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu di mahkamah sama.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

