PELAKON Amelia Henderson, 27, akan memfailkan rayuan terhadap keputusan kes saman berhubung perlanggaran kontrak selepas kemenangan berpihak kepada penerbit Datuk A Aida, 53, di Mahkamah Sivil, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam keputusan itu, Amelia diperintahkan membayar RM213,000 kepada A Aida yang merangkumi kos deposit, ganti rugi am fitnah, ganti rugi kos penggambaran dan kos tindakan dengan faedah lima peratus tahunan.
“Tak boleh nak cakap banyak memandangkan saya akan buat rayuan juga. Saya rasa kes ini masih berterusan dan kita nantikanlah. Saya menghormati keputusan mahkamah hari ini. Saya masuk mahkamah hari ini tanpa sebarang harapan.
“Saya sangat bangga dengan diri saya kerana saya rasa saya buat perkara yang betul. Tapi pada masa sama perasaan itu juga yang bagi saya kekuatan untuk membuat rayuan.
“Hari ini saya rasa sangat gembira secara sangat peribadi kerana pada masa sangat memerlukan, seluruh keluarga hadir, maka saya menang,” katanya yang dilihat sebak dan berpelukan dengan ahli keluarga sebaik sebutan keputusan dibuat.
Pelakon filem Pulau itu mengakui, kes terbabit tidak pernah menggugat rasa hormatnya terhadap A Aida. Malah, dia cukup gembira dengan pengalaman sepanjang mengenali penerbit itu.
“Pengalaman saya bekerja dengan (Datuk) A Aida sangat ‘best’ (seronok). Saya tak ada satu patah perkataan negatif pun untuk cakap mengenai dia. Saya harap semua orang faham ini adalah percanggahan pendapat profesional.
“Saya hormati semua orang dalam industri ini baik A Aida atau siapa pun yang saya pernah kerjasama. Saya dapat pengalaman yang sangat menyeronokkan kerja dengannya,” katanya.
Sementara itu, peguamnya Wan Nurliyana Abdul Rahman berkata, proses rayuan pun akan mengambil masa tapi mereka akan melakukannya dalam masa terdekat.
“Rayuan itu dibuat kepada Mahkamah Tinggi untuk keputusan keseluruhan hari ini. Kami buat secepat mungkin, kami sedang tunggu penghakiman perintah dari plaintif dulu,” katanya.
Pada sebutan keputusan hari ini, Hakim Zulqarnain Hassan juga memutuskan supaya pelakon itu memohon maaf dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu.
Sumber: Harian Metro

