Azam Baki saman Bloomberg jika gagal jawab LOD

Dari Penulis

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan menyaman Bloomberg sekiranya gagal memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari terhadap surat tuntutan (LOD) dihantarnya.

Azam turut mengesahkan sudah menghantar LOD kepada Bloomberg berhubung apa yang digambarkan sebagai artikel fitnah yang mendakwa beliau memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

“Saya telah menghantar surat tuntutan. Dalam tempoh 14 hari, jika tiada jawapan terhadap apa yang telah kami nyatakan, saya akan meneruskan tindakan undang-undang sehingga ke akhirnya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI di Kampung Sungai Buah, Dengkil, hari ini

Sebelum ini, media melaporkan Azam melalui firma guaman, Zain Megat & Murad menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta atas dakwaan laporan disiarkan Bloomberg menjejaskan reputasi dan kedudukannya secara profesional.

Khamis lalu, media melaporkan firma guaman mewakili Azam telah mengeluarkan LOD kepada Bloomberg susulan laporan yang disifatkan berunsur fitnah berkait dakwaan beliau memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Hasil semakan mendapati LOD itu telah dihantar ke pejabat Bloomberg di Amerika Syarikat (AS) dan juga di Malaysia.

Firma guaman itu dalam satu kenyataan mendakwa bahawa artikel terbabit ‘berunsur fitnah, tidak bertanggungjawab dan sangat mengelirukan’, bukan saja amat menjejaskan Azam secara peribadi tetapi juga maruah dan integriti institusi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Baca artikel lain: Ronald Kiandee melompat ke GRS hanya spekulasi – Armizan

Firma itu sekali gus mengesahkan pihaknya telah diarah untuk memulakan tindakan undang-undang dan mengambil segala langkah perundangan sedia ada, termasuk menuntut ganti rugi serta relif lain yang bersesuaian.

LOD itu berhujah bahawa penerbitan terbabit didakwa memberikan gambaran seolah-olah Azam tidak membuat pengisytiharan hartanya secara terbuka, selain mencadangkan berlaku ketidakwajaran berkait pegangan saham berkenaan.

Surat itu antara lain menegaskan Azam telah mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan harta sebagai penjawat awam, termasuk membuat pengisytiharan melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya lagi, saham yang dirujuk itu juga telah dilupuskan sebelum penerbitan artikel berkenaan, dan sebarang pelaburan dilakukan telah dibiayai dengan pendapatan sah mengikut undang-undang serta faedah persaraan yang diperoleh sepanjang tempoh hampir empat dekad dalam perkhidmatan awam.

Artikel itu juga dituduh membangkitkan semula tuduhan lama yang telah disiasat dan diselesaikan sebelum ini, sekali gus mewujudkan gambaran mengelirukan berhubung dakwaan salah laku.

Secara keseluruhan, laporan itu didakwa membayangkan seolah-olah Azam bertindak menyalahi undang-undang, tidak jujur atau memiliki kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Justeru, LOD itu menuntut Bloomberg mengemukakan permohonan maaf secara bertulis yang jelas dan tanpa syarat dalam tempoh 14 hari; menarik balik dan memadamkan artikel terbabit daripada laman sesawang Bloomberg Terminal dan semua platform sindikasi pihak ketiga serta menyiarkan permohonan maaf mengikut terma yang dipersetujui peguam mewakili Azam.

Selain itu, ia juga menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta atas dakwaan menjejaskan reputasi dan kedudukan profesional Azam.

Firma guaman itu turut mengulangi penegasan bahawa Azam tidak melanggar sebarang undang-undang, peraturan atau ketetapan perkhidmatan awam, dan semua pengisytiharan serta rekod dokumentari berkaitan adalah wujud serta boleh disahkan.

Menurutnya lagi, Azam kekal komited terhadap integriti, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam melaksanakan tugasan awamnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: SPR keluarkan 24,677 kertas undi pos

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos. Setiausaha...

More Articles Like This