KEMELUT dalaman Kelantan FC melibatkan ketua jurulatihnya Choi Moon-sik dan pihak pengurusan kelab dijangka berakhir apabila perkara yang berupaya menjejaskan imej negara itu mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau sudah meminta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung dengan Kelantan FC bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai perkara itu.
“Saya tak nak masuk campur tetapi saya sudah maklum kepada mereka (MFL) bagi mendapatkan penjelasan daripada Kelantan dan melihat apakah isu ini sebenarnya kerana saya tidak mahu tengok dari sudut sosial media takut ada fakta yang salah.
“Jadi kita minta penjelasan dari situ kita akan ambil tindakan susulan tetapi (jika terdapat kesalahan) MFL akan ambil tindakan terlebih dahulu sebagai pengendali Liga Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih FAM 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Kelantan membuat kejutan apabila merehatkan Moon-sik dan melantik penolong ketua jurulatih Rezal Zambery Yahya sebagai pengendali interim, kurang daripada satu jam sebelum aksi Liga Super menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Selasa lepas.
Baca artikel lain: Kekejaman Israel: Malaysia tak boleh diam diri, perlu tekan pihak antarabangsa
Jurulatih Korea Selatan berusia 52 tahun itu yang menyertai Kelantan pada Januari lepas menjadi jurulatih pertama direhatkan musim ini.
Susulan nasib menimpa Moon-sik, media tempatan melaporkan ejen jurulatih itu membuat beberapa dakwaan negatif terhadap pengurusan The Red Warriors (TRW) di media sosial dan sedia membawa perkara ini ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pemilik Kelantan Norizam Tukiman kemudian tampil mempertahankan keputusan kelab apabila mendedahkan kekalahan berterusan, kesukaran berkomunikasi antara pemain dan jurulatih dan tiada laporan prestasi menjadi punca Moon-sik direhatkan.
Kelantan kini di posisi kedua tercorot Liga Super dengan mengumpul empat mata selepas hanya meraih satu kemenangan dan seri sekali dalam tujuh perlawanan .
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

