DALAM sejarah dunia penerbangan, nama Amelia Earhart bukanlah sesuatu yang asing. Namanya tercatat sebagai perintis dan wanita pertama yang menguasai bidang penerbangan. Juga bergelar penulis dan pejuang hak wanita di Amerika, Amelia turut menjadi wanita pertama yang menerima gelaran ‘Distinguished Flying Cross’.
Lahir pada pada 24 Julai 1897, sejak awal wanita ini sudah memasang angan-angan untuk menjadi wanita pertama yang mengelilingi dunia. Amelia juga merupakan penerbang wanita pertama yang terbang secara solo merentasi Lautan Atlantik. Buku tulisannya tentang pengalaman merentasi lautan kedua terbesar itu menjadi antara buku terlaris ketika itu.
Namun begitu, di sebalik pelbagai kejayaannya yang menaikkan martabat kaum wanita, hidup Amelia berakhir penuh misteri. Dia hilang semasa dalam misi untuk mengelilingi dunia.

Sebelum bersara, Amelia mempunyai hajat terakhir iaitu mahu terbang mengelilingi dunia. Setelah melakukan persiapan rapi, pada 1 Jun 1937, Amelia bersama rakan penerbangannya, Fred Noonan, memulakan penerbangan dari Oakland, California merentas benua ke timur dengan menaiki pesawat Lockheed L-10E Electra.
Setelah mengelilingi benua Asia, Amelia berhenti di Papua New Guine pada tanggal 29 Jun 1937. Wanita ini cuma perlu menghabiskan 11 ribu kilometer lagi untuk mencipta sejarah sebagai wanita pertama mengelilingi dunia. Sebelum itu, dia telah menyelesaikan penerbangan sejauh 35 ribu kilometer.
Tengah malam 2 Julai 1937, mereka dalam penerbangan menuju ke Pulau Howland, sebuah pulau kecil di Lautan Pasifik untuk berhenti bagi mengisi minyak. Namun, semasa melalui lautan tersebut, berlaku masalah.
Radar pesawat mereka mengalami gangguan. Isyarat dari pesawat mereka juga tidak diterima dengan jelas. Isyarat itu sepatutnya dihantar kepada kapten kapal USS Calorado. Tetapi, isyarat komunikasi itu tidak jelas dan terputus-putus.
Isyarat Amelia yang terakhir dapat direkodkan berbunyi : “Kami sepatutnya berada tepat di atas anda. Tetapi kami tidak dapat melihat anda. Bahan bakar kami sudah hampir habis. Berulang kali saya gagal menghubungi anda melalui radio. Kami terbang di ketinggian 1,000 kaki!”
Selepas itu, Amelia dan rakannya tidak pernah lagi ditemui. Kedua-dua mereka diisytiharkan telah hilang di Lautan Pasifik.
Teori Dan Spekulasi
Walau pelbagai usaha pencarian dijalankan, pesawat Amelia tidak dapat dikesan. Ia juga menjadi pencarian udara dan laut yang termahal dalam sejarah Amerika. Lebih kurang AS$4 juta dilaburkan untuk operasi mencari Amelia. Pencarian dilakukan di sekitar Lautan Pasifik sehingga ke Pulau Gardner (kini dikenali sebagai Pulau Nikumaroro), tetapi Amelia dan pesawatnya tidak pernah ditemui.
Setelah segala usaha pencarian yang dilakukan gagal, akhirnya diisytiharkan secara rasmi bahawa Amelia Earhart mati pada tanggal 5 Januari 1939.

Salah satu teori mengatakan Amelia mendarat di Pulau Gardner yang tidak berpenghuni. Ini kerana dalam misi pencarian, ditemui sepotong plexiglass yang tebal dan lengkungannya sama seperti jendela pesawat Amelia.
Selain itu, turut ditemui kasut bersaiz sembilan, sama seperti dipakai Amelia. Kerana itu ramai pengkaji yakin pesawat Amelia jatuh di pulau tersebut. Malangnya, pasukan pencari tidak menemui mayat, pesawat atau sebarang tanda Amelia pernah berada di pulau tersebut.
Pelbagai spekulasi lain turut dikaitkan dengan kehilangan Amelia. Antaranya, pesawatnya telah terhempas di Lautan Pasifik berdekatan pulau Howland setelah kehabisan bahan bakar. Ini adalah teori yang paling logik diterima akal berbanding spekulasi yang lain.
Waitt Institutte, perusahaan pencarian bawah laut juga pernah melakukan pencarian menggunakan bantuan robot laut dalam. Namun, semua pencarian itu tidak menemui apa-apa. Bangkai pesawat Amelia juga tidak ditemui di lokasi yang dikatakan pesawatnya jatuh terhempas.
Ada juga spekulasi mengatakan Amelia sebenarnya tidak mati, tetapi telah mendarat di Kepulauan Marshall dan kembali ke Amerika dengan menggunakan identiti baru. Ada pula yang membuat teori bahawa mereka telah ditangkap oleh pihak Jepun dan dipenjarakan seehingga ke akhir hayat. Oh ya, tak kurang juga yang mengatakan Amelia telah diculik makhluk asing.
Apa pun yang diperkatakan, semuanya sekadar andaian. Tidak ada bukti konkrit yang mampu menjelaskan apa sebenarnya berlaku kepada wanita ini. Kematian Amelia Earhart kekal misteri sehingga ke hari ini.


_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

