KELUARGA pasangan warga emas yang meninggal dunia selepas memakan ikan buntal mahu mengheret penjual dan pembekal ikan beracun itu ke mahkamah.
Memetik laporan Sinar Harian online, anak mangsa, Ng Ai Lee, 51 berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menguatkuasakan akta sedia ada dan mengambil tindakan undang-undang tegas ke atas penjual.
Ai Lee berkata, berita mengenai pemergian ayahnya, Eng Kuai Sin @ Ng Chuan Sing, 84, kira-kira pukul 6.30 pagi tadi dianggap satu mimpi.
Ini kerana, Ai Lee memaklumkan, ayahnya berada dalam keadaan sihat dan masih boleh mengenali serta berbual mesra, semalam.
Malah, Ai Lee berkata, ayahnya juga ada bertanyakan keadaan ibunya, namun terpaksa mengatakan sedang berehat di rumah kerana bimbang kesihatannya terganggu.
“Kami amat mengharapkan KKM dan LKIM menguatkuasakan akta sedia ada di mana Seksyen 13a Akta Makanan daripada KKM serta P.U. 104 LKIM secara jelas melarang menjual atau menyediakan bahan makanan yang tidak sesuai dimakan oleh manusia.
“Tindakan ini perlu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kepada keluarga atau orang lain,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Elak beli ikan buntal – Jabatan Perikanan
Pada masa sama, Ai Lee turut menggesa Pejabat Kesihatan Daerah Kluang memberi jawapan segera berhubung hasil siasatan.
28 Mac lalu, media melaporkan seorang wanita warga emas berusia 83 tahun maut manakala suaminya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas menikmati hidangan ikan buntal.
Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon menerusi kenyataannya memaklumkan suami wanita itu dirawat di ICU Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang.
Kes melibatkan sepasang suami isteri yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang yang mendapatkan bekalan ikan buntal daripada penjual secara dalam talian melalui Facebook.
“Bekalan diterima pada 25 Mac lalu (Sabtu) pada waktu pagi. Selepas itu, ikan berkenaan dibersihkan dan digoreng untuk dibuat makan tengah hari bersama sayur dan daging khinzir.
“Dalam jam 3 petang, wanita berkenaan mula menunjukkan gejala sesak nafas dan menggigil. Kira-kira sejam kemudian, suaminya turut mengalami gejala sama,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

