PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan komen yang komen yang ditujukan kepada usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri sebagai penyanyi nombor satu negara hanyalah sekadar gurauan.
Jelas Siti,44, dia berharap agar semua pihak tidak terlalu mengambil serius dengan komen tersebut kerana dia sekadar ingin menghiburkan peminat.
“Saya rasa ini lebih kepada hiburan dan gurauan. Saya cuma melayan Datuk Aliff Syukri sahaja sebab saya tahu dia pun sebenarnya saja begitu.
“Jadi kita tak payah ambil serius sangat. Ia sekadar hiburan saja. Jangan bergaduh dan saya tahu peminat saya faham apa yang kita guraukan ini,” katanya kepada URTV.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Prihatin & Kopena bersama media dan rakan stratrgi di Setia Alam, semalam.
Dalam pada itu, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu tidak pernah menganggap gelaran penyanyi nombor satu negara yang dipegangnya itu sebagai tiket untuk dia kekal bertahan dalam industri untuk selamanya.
Ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa itu bagaimanapun lebih mementingkan hasil kerja yang berkualiti dann boleh diterima peminat.
“Sebetulnya dalam hati saya tidak mahu orang bagi gelaran penyanyi nombor satu pun kerana gelaran tersebut tidak kekal dan tak boleh dibawa ke mana.
“Apa yang penting kerja-kerja yang kita buat. Selagi dapat buat terbaik dan orang suka, selagi itu boleh diterima dalam industri,” ungkapnya.
Luah Siti lagi, lebih 20 tahun membina karier seni, dia bersyukur masih lagi kekal relevan dan dihargai peminat.
“Saya patut bersyukur peminat menghargai saya dan biar kekal dihargai dengan sesuatu yang baik dan positif.
“Saya tidak mahu orang mengingati saya dengan perkara tidak elok. Kalau yang baik alhamdulillah,” jelasnya.
Sebelum ini, Aliff Syukri meninggalkan komen di Instagram milik Siti dan mengelarkan dirinya sebagai penyanyi nombor satu negara disebabkan semua lagu-lagunya sohor kini (trending) dalam Youtube.
“Cantiknya awak idola saya. Awak kenal tak saya artis nombor satu ini,” tanya Aliff.
Siti kemudian membalas komen tersebut dengan mengatakan dia mengenali Aliff selaku penyanyi nombor satu dan mengakui kedudukannya yang berada di belakang ahli perniagaan itu.
“Mestilah kenal, awak penyanyi nombor satu. Saya di belakang awak ya,” balas Siti.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

