SIAPA sangka, kehadiran pelakon drama popular Nur 2, Azar Azmi dalam sesi siaran langsung usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri bukan sekadar kunjungan biasa.
Di sebalik senyuman yang cuba diukir, tersimpan seribu satu duka mengenai keperitan hidup yang dilalui bintang berusia 35 tahun itu sejak kebelakangan ini.
Simpati dengan nasib yang menimpa Azar, Aliff bertindak bermurah hati menyerahkan bantuan wang tunai berjumlah lebih RM35,000 kepada pelakon tersebut.
Menurut Aliff, sumbangan itu merupakan hasil daripada sokongan peminat dan pembeli produknya di platform TikTok yang niat asalnya adalah untuk membantu golongan yang memerlukan.
Apa yang lebih menyentuh hati, Aliff mendedahkan bahawa Azar sebenarnya datang menemuinya bukan untuk meminta sumbangan, sebaliknya merayu untuk diberikan sebarang pekerjaan meskipun hanya sebagai tukang pembungkus barang (packer) di gudang.
“Dia datang jumpa saya dan minta kerja sebagai pembungkus barang dengan tawaran gaji RM1,700 sahaja.
“Saya tersentuh melihat keadaan dia yang benar-benar dalam kesempitan ketika ini.
“Namun, hari ini saya bantu dia dengan hasil jualan daripada rakyat Malaysia yang masih sayangkan dia.
“Ini bukan duit saya, tapi ini amanah daripada orang ramai yang membeli sambil beramal,” ujar Aliff.
Melihat kepada kesungguhan Azar, Aliff turut menyatakan hasratnya untuk menawarkan jawatan yang lebih stabil di syarikatnya dengan tangga gaji yang lebih baik.
“Insya-Allah, saya bercadang untuk mengambilnya bekerja secara tetap sebagai kerani atau pembungkus barang dengan gaji RM2,000 sebulan bagi memastikan dia mempunyai pendapatan tetap selepas ini,” ulasnya.
Bagi Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi,35, bantuan tersebut dianggap sebagai ‘talian hayat’ buat dirinya dan anak-anak.
Pelakon itu kelihatan tergamam dan hilang kata-kata sebaik sahaja melihat jumlah wang tunai yang diserahkan kepadanya.
Dedah Azar, dia kini berada dalam situasi yang sangat sukar sehingga tidak mempunyai sebarang akaun bank mahupun platform media sosial sendiri selepas terpalit dengan isu undang-undang sebelum ini.
“Sejujurnya saya rasa malu dan buntu. Sudah terlalu lama saya tidak memegang wang sebanyak ini dan tidak tahu bagaimana mahu memulakan hidup.
“Duit ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk membeli keperluan anak-anak.
“Saya tidak akan tolak apa sahaja kerja yang Datuk berikan kerana saya terhutang budi atas bantuan yang melebihi jangkaan saya ini,” luah Azar dalam nada sebak.
Terdahulu, nama Azar hangat diperkatakan selepas dia dan suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd Sapri, direman atas dakwaan terlibat dalam kes penipuan.
Walau bagaimanapun, Azar telah dibebaskan dan bakal menjadi saksi pendakwaan bagi kes tersebut.
Suaminya pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang individu melibatkan kerugian mencecah RM270,811 dalam prosiding Mac lalu.
Selain Azar, Aliff turut memberi bayangan akan menjejak dan membantu seorang lagi pelakon senior, Norish Karman, yang dikhabarkan kini sedang berdepan masalah kesihatan dan memerlukan sokongan kewangan.

