DI sebalik keriuhan dan pelbagai kontroversi yang sering melanda di media sosial, usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri, rupa-rupanya menyimpan sisi ‘pelabur bijak’ yang jarang didedahkan secara terperinci.
Terbaharu, dia mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan kini memiliki ratusan aset hartanah yang diusahakan sejak puluhan tahun lalu.
Aliff, 40, menjelaskan bahawa pemilikan hartanah tersebut bukanlah satu simbol kemewahan semata-mata, sebaliknya merupakan portfolio pelaburan jangka panjang yang telah dirancang rapi.
Menurutnya, jumlah unit kediaman yang dimilikinya ketika ini dianggarkan melebihi 200 unit merangkumi pelbagai segmen pasaran.
Bagi Aliff, kesedaran mengenai nilai hartanah telah dipupuk sejak awal lagi.
Penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu tidak menunggu sehingga bergelar jutawan untuk mula melangkah ke arena hartanah, sebaliknya memulakan langkah pertama seawal usia 19 tahun.
“Minat saya dalam mengumpul aset ini sudah bermula sejak dahulu lagi, ketika saya baru berusia 19 tahun.
“Saya percaya jika saya tidak mengambil langkah awal untuk membeli, harganya mungkin sudah melambung tinggi dan jauh lebih mahal pada waktu sekarang.
“Bagi saya, memiliki hartanah adalah satu bentuk pelaburan yang paling kukuh, selain berfungsi untuk kegunaan keluarga pada masa hadapan,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis rumah terbuka di kediaman peribadinya di Damansara, baru-baru ini.
Menariknya, portfolio hartanah miliknya itu tidak tertumpu kepada satu jenis sahaja. Dia memiliki pelbagai unit bermula daripada kondominium mewah, apartmen, hinggalah ke rumah kos rendah.
Bagi memastikan pengurusan aset yang lebih sistematik, kesemua hartanah tersebut kini berada di bawah seliaan syarikat miliknya sendiri, Aliff Syukri Properties.
Dia mengakui bahawa kebanyakan rumah tersebut tidak didiami secara peribadi, sebaliknya dijadikan instrumen penjanaan pendapatan pasif.
“Aset-aset yang saya miliki ini merangkumi pelbagai jenis, dari rumah kos rendah hingga kondominium.
“Saya tidak mendiami semua rumah tersebut. Sebaliknya, majoritinya disewakan kepada pihak lain dan melalui proses sewaan itulah saya menjana pendapatan tambahan sebagai sokongan kepada perniagaan kosmetik yang saya jalankan,” ulasnya.
Aliff mengakui memiliki hartanah bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara antaranya di Indonesia dan London.
“Sebagai seorang ahli perniagaan, saya tak boleh hanya fokus kepada satu jenis produk seperti kosmetik saja. Saya kena bijak mencari alternatif lainn untuk jana pendapatan.
“Lagipun saya ni seorang yang tak boleh tengok iklan jual rumah…mesti laju saja tangan ni nak beli!,” ungkapnya sambil tertawa.
Sementara itu, isterinya, Datin Seri Nur Shahida turut mengulas mengenai perancangan kewangan keluarga mereka.
Dia menyifatkan hartanah sebagai ‘simpanan selamat’ untuk anak-anak mereka, namun dalam masa yang sama, mereka tetap bertegas dalam mendidik zuriat agar tidak terlalu bergantung kepada harta warisan.
“Saya dan suami memang sehaluan dalam hal pelaburan hartanah ini sejak awal lagi.
“Ia adalah salah satu sumber pendapatan kami dan juga dianggap sebagai simpanan masa depan buat anak-anak sekiranya mereka memerlukan tempat tinggal apabila dewasa kelak.
“Walau bagaimanapun, kami tidak meletakkan aset-aset ini secara khusus di bawah nama mereka sekarang,” jelas Shahida.
Beliau menekankan bahawa pendidikan adalah keutamaan yang telah disediakan, namun untuk kemewahan aset, anak-anak harus berusaha dengan titik peluh sendiri.
“Saya mahu anak-anak belajar untuk berdikari. Walaupun kami mempunyai banyak aset, tanggungjawab kami adalah menyediakan keperluan asas dan pendidikan.
“Apabila mereka sudah besar nanti, mereka perlu berusaha keras dan mencari harta sendiri seperti mana yang kami lakukan dahulu,” tegasnya.
Pendedahan ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa empayar yang dibina oleh Aliff bukan sekadar berpaksikan jualan produk kecantikan, tetapi juga disokong oleh pengurusan aset hartanah yang sangat progresif.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

