TERUS mengejar pahala bulan Ramadan, pihak Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras, Selangor telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana yang melibatkan 200 orang asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz.
Tidak terkecuali, lima artis iaitu Datuk Hail Amir, Ibnor Riza, Uji Rashid, Zaiton Sameon dan Ebby Yus turut diraikan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Al-Mukhlisin.
Menurut pengerusinya, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim, setiap tahun, acara tersebut dianjurkan bagi membantu meringkan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk sama-sama menyambut Aidilfitri.
“Seramai lebih kurang 200 orang asnaf, 170 anak tahfiz dan 50 anak-anak yatim di sekitar Lembah Klang yang kami raikan pada majlis berbuka puasa.
“Tak lupa juga pada tahun ini sempena bulan Ramadan, saya turut menjemput lima orang artis tanah air untuk memberi bantuan kepada mereka.
“Sebenarnya, pihak kami ingin menghulurkan sumbangan kepada 20 orang artis. Tapi malangnya, nombor telefon yang kami hubungi tidak dapat dihubungi.
“Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, dengan izin Allah saya dapat bercakap dengan penyanyi Datuk Hail Amir, Ibnor Riza, Zaiton Samoen, Ebby Yus dan Uji Rashid,” katanya kepada URTV.

Nazri berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di Dewan Al-Mukhlisin, Alam Damai.
Tambahnya lagi, sumbangan bernilai RM1,000 setiap seorang yang dihulurkan kepada rakan artis itu diharap dapat memberi sedikit senyuman bagi menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.

“Bagi golongan asnaf, pihak masjid memberi sumbangan RM200 beserta barangan keperluan asas. Manakala bagi anak tahfiz pula kita bagi sumbangan wang tunai.
“Untuk lima artis ini pula kita sumbangkan RM1,000 setiap seorang. Untuk pengetahuan semua, kita menggunakan sumbangan orang ramai kepada masjid berjumlah RM40,000 untuk menjayakan misi ini.
“Tetapi untuk tahfiz, anak yatim dan artis ia, adalah sumbangan peribadi saya,” ujarnya.

Nazri juga dalam perancangan dengan pihak masjid untuk menganjurkan majlis rumah terbuka Syawal yang akan turut disertai lima artis berkenaan selain akan turut mengundang lebih ramai anak seni yang memerlukan bantuan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

