Ada seorang rakan saya setiap malam selalu makan hati berulam jantung. Manakan tidak, masuk pukul 9.00 malam, isterinya turun berlenggang dari bilik atas sambil mulutnya menyebut – ‘Korean time, Korean time’.
Mahu tak mahu, suka atau tidak, dia perlu menyerahkan remote TV kepada si isteri. Kemudian dia mengangkat punggung, meninggalkan ruang tamu. Masuk bilik tidur dan terus menarik selimut. Kadangkala kerana belum mengantuk, mata kawan saya ini terkebil-kebil macam ayam berak kapur. Memandang siling sehingga jam berganjak ke pukul 12.00 malam.
Sesekali, dia terpaksa buat muka seposen, meminta simpati terutama bila malam itu ada siaran langsung bola sepak Liga Inggeris atau Liga Malaysia. Selalunya permintaan kawan saya itu hanya dibalas dengan sengih si isteri sambil remote terus di tangannya.
Kalau si suami nak tengok juga, terpaksalah bertekak dahulu sehingga isteri merajuk dan masuk tidur awal. Pagi esok nak pergi kerja, mulutnya muncung panjang. Petang pulang dari pejabat pun begitu juga. Sebab itu kawan saya lebih suka memendam rasa daripada bertengkar. Itulah penangan drama Korea dan K-Pop!

Kata kawan saya itu, dulu isterinya selalu membebel pada anak-anaknya yang banyak menghabiskan masa di depan TV, menonton drama Korea atau melayan muzik K-Pop. Kalau hari cuti, pagi petang, siang malam menghadap rancangan Korea. Habis Running Man, tengok K-Pop Starz, lepas tu bersambung pula dengan drama Korea.
“Yang korang gila sangat dengan K-Pop tu, kau faham ke bahasa Korea?” begitu bebel isterinya.
Tapi, bila isterinya pula terkena sindrom demam drama Korea, ‘gila’nya lebih daripada anak-anak. Manakan tidak, drama yang sudah ditonton pada malamnya, ditonton lagi siaran ulangannya pada keesokan petangnya. Dan kalau diulang lagi pada hujung minggu, masih ditonton juga.
“Balik kerja pukul 5.00. Selepas solat Asar, mulalah dia menghadap drama Korea. Kemudian break untuk solat Maghrib dan Isyak, lepas tu sambung sampai pukul 12.00 malam,” keluh kawan saya itu.
Apa yang membuatkan kawan saya lebih makan hati bila dia terpandang wallpaper telefon bimbit isterinya. Bukan gambarnya yang terpampang di situ, tapi gambar Lee Minho. Alah, pelakon popular Korea itulah. Dia terfikir, apakah kurang handsome dia jika dibandingkan dengan Lee Minho sehingga gambarnya tidak layak menghiasi wallpaper telefon isteri sendiri?
Saya katakan pada kawan saya itu, kalau isterinya boleh letak gambar Lee Minho di telefon bimbitnya, dia pun letaklah gambar artis-artis wanita di telefon bimbitnya pula. Tengok apa pula reaksi isterinya. Dan saya beritahu kawan saya itu juga, tidak perlulah dia berasa jealous atau risau kalau isterinya ‘tergila-gilakan’ Lee Minho. Sebab saya percaya tidak ada risiko walau satu persen pun si Lee Minho itu akan membawa lari isterinya. Bukannya pelakon Korea itu kenal dengan isteri kawan saya itu.
Sebenarnya daripada pemerhatian saya, bukan isteri dan anak-anak kawan saya saja yang terkena demam Korea ini. Boleh dikatakan ia sudah menyerang seluruh dunia.
Satu ketika dulu, mak cik-mak cik di rumah tercongok di depan TV setiap petang untuk menonton sinetron. Mereka tak boleh miss tengok Bawang Putih Bawang Merah, Benci Bilang Cinta dan lain-lain yang saya tidak ingat tajuknya. Masa ini jangan sesiapa berani tukar channel, alamat kena ketuk dengan sudip. Kalau tak tengok, rasa tak lengkap hidup. Tapi sekarang, mak cik-mak cik yang dulu gilakan sinetron itu pun dah naik syok melayan cerita Korea pula.

Pernah saya ‘tertonton’ konsert K-Pop yang berlangsung di Turki. Anak-anak gadis Turki ada antaranya bertudung, yang saya yakin sebahagian besarnya tidak faham sepatah haram pun bahasa Korea turut terkinja-kinja menari, menyanyi sambil bersorak dan bertepuk tangan sepanjang konsert tersebut berlangsung. Bagi saya, peminat memuja artis yang diminatinya memang perkara biasa. Cuma cara sekarang dengan zaman dulu tentulah berbeza. Yalah, dulu mana ada telefon bimbit.
Pada zaman saya remaja dulu, kami menunjukkan minat terhadap seseorang artis dengan pelbagai cara. Ada yang menampal poster mereka di dinding bilik, tidak kurang yang menampal di dalam buku latihan dan paling popular ialah menampal di fail yang setiap hari dibawa ke sekolah.
Selalunya budak perempuan akan tampal gambar artis-artis lelaki yang kacak. Manakala lelaki pula pilih artis-artis wanita yang seksi. Pada masa saya bersekolah, artis lelaki Malaysia yang jadi kegilaan budak-budak perempuan waktu itu ialah Hail Amir dan DJ Dave.

Jadi, ramailah budak lelaki yang cuba meniru gaya kedua-dua artis idola tersebut untuk menarik perhatian budak-budak perempuan. Buah rantai yang dipakai oleh Hail Amir menjadi ikutan malah ramai budak lelaki mengidam memiliki bulu dada seperti DJ Dave.
Agak kelakar, seorang kawan saya membelanjakan banyak wang membeli minyak pelebat bulu jenama Bon, semata-mata mahu dadanya berbulu macam DJ Dave. Saya pun ikut tumpang sekaki menyapu minyak Bon kepunyaan kawan saya itu. Tapi yang berbulu ialah hati kami kerana sampai sekarang, dada kami masih ‘lopong’ tak tumbuh bulu pun. Kah… kah…
Seorang kawan saya pula sering menjadi tumpuan kami sekelas terutama murid-murid lelaki kerana buku latihannya yang tidak digunakan dipenuhi gambar artis-artis Hollywood dan Bollywood yang seksi. Antaranya gambar tiga pelakon Charlie’s Angels – Farrah Fawcett, Kate Jackson dan Jaclyn Smith. Dan paling banyak ialah gambar Marilyn Monroe! Artis-artis Bollywood yang menjadi pilihan ketika itu ialah Rekha, Reena Roy dan Mumtaz yang memang terkenal dengan aksi-aksi berani.

Setiap kali menampal gambar baru, dia akan menunjukkan kepada kami dan kami ramai-ramai melihatnya. Selalunya kami curi-curi tengok semasa guru tiada di kelas. Bila cikgu masuk, cepat-cepat buat baik, baca buku sejarah, macam Pak Maon!
Pada zaman dulu, untuk berjumpa artis secara live bukan mudah, apatah lagi bagi kami yang tinggal di kampung. Peluang itu hanya datang setahun sekali, sama ada selepas musim padi atau musim durian. Sebab pada musim itu, orang-orang kampung jadi OKB (orang kaya baru).
Dan inilah masanya tauke-tauke funfare nak buat duit. Mereka ini cukup geliga kepala otaknya. Mereka tidak bawa semua artis popular dalam satu persembahan, sebaliknya setiap malam hanya ada seorang artis popular dan digandingkan dengan artis suam-suam kuku. Jadi untuk melihat semua artis popular, ada yang bertandang ke funfare setiap malam selama sebulan.
Saya tidak terkecuali, tidak mahu melepaskan peluang melihat artis-artis kesayangan saya. Setiap hari selepas pulang dari sekolah, saya terus mencampak beg, menanggalkan pakaian dan berlenggeng hanya dengan seluar pendek. Lalu saya memanjat pokok manggis, mengait buahnya yang masak untuk dijual. Hasil jualan itulah yang membawa saya ke funfare pada malamnya.

Sayang, pada masa itu belum ada telefon bimbit macam sekarang. Kalau tidak sudah tentu saya selfie gambar saya bersama artis pujaan saya, Khadijah Ibrahim dan dimuat naik ke media sosial seperti Facebook dan Instagram.
Tapi, kehangatan tangan Khadijah Ibrahim yang menerima salam saya di belakang pentas masih terasa sehingga sekarang. Waktu itu, satu kampung saya menjaja cerita dapat bersalam dengan penyanyi terkenal itu. Bangga sungguh waktu itu!
– Uncle Rod 60’s, Gombak, Selangor.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

