“KALAU periksa tiket Malaysia Airlines (MAS) kenapa pakai aplikasi AirAsia?.”
Demikian kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang meluahkan rasa hairan bagaimana Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hanya menggunakan aplikasi AirAsia untuk memeriksa harga tiket kapal terbang.

Anthony Loke berkata, sebagai seorang bekas Menteri Pengangkutan, Ka Siong sepatutnya tahu bahawa Malaysia Airlines mempunyai aplikasinya sendiri.
Justeru, Ahli Parlimen Seremban itu turut berharap supaya Ka Siong tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang ramai.
“Ini macam nak beli KFC tapi pergi ke McDonald’s. Tak masuk akal.
“Kalau beliau buat sedikit langkah seterusnya, periksa dengan aplikasi lain. Jawapan yang diterima itu jauh berlainan.
“Memang ramai tak faham bagaimana tiket penerbangan ditentukan oleh syarikat penerbangan tetapi saya yakin Ka Siong pernah diberikan taklimat.
“Beliau tahu apakah mekanisme pendekatan sistem yang digunapakai syarikat penerbangan untuk menentukan harga tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.
Baca artikel berkaitan: Harga tiket penerbangan KL-Tawau cecah RM3,138, mengejutkan kata Ka Siong
Berhubung isu pihak ketiga menjual tiket untuk pihak Malaysia Airlines yang turut dibangkitkan Ka Siong, Anthony Loke berkata beliau telah pun meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) membuat penelitian.
Namun begitu, beliau memaklumkan, isu melibatkan penjualan tiket Malaysia Airlines di aplikasi super AirAsia itu sebenarnya telah pun mempunyai sedikit pertikaian.
“Saya telah berhubung dengan Kapten Izham (Ismail) (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad), saya difahamkan bahawa Malaysia Airlines ada pertikaian dengan AirAsia berkenaan penjualan tiket ini melalui aplikasi AirAsia Group.
“Malaysia Airlines dah failkan injunksi terhadap aplikasi super itu tetapi itu adalah antara dua syarikat ini. Pertikaian dari segi komersial,” katanya.
Mengulas mengenai penjualan tiket dan tambahan penerbangan semasa musim perayaan ini, Anthony Loke berkata, pada musim perayaan ini, sebanyak 78 peratus kerusi yang dijual Malaysia Airlines berharga antara RM209 sehingga RM841.
Jelas beliau, hanya 12 peratus tiket khususnya dari Kuala Lumpur ke Tawau dijual pada harga antara RM905 hingga RM1226 bagi kelas ekonomi.
Selain itu, katanya, AirAsia juga menawarkan harga tiket tetap berharga RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Tegasnya, memang ada tiket mahal namun ia biasanya melibatkan tiket dibeli pada saat akhir dan majoriti tiket dijual pada harga di bawah RM841 pada musim perayaan kali ini.
“Saya tidak kecewa dengan beliau (Ka Siong). Jadi saya mahu undang beliau, pada tarikh yang beliau pilih, 20 April.
“Saya buat jemputan terbuka, pada pukul 10.15 malam untuk pergi lepaskan penumpang dari Kuala Lumpur ke Tawau, RM249 untuk semua 135 penumpang.
“Kalau beliau tidak percaya ada tambang murah, saya undang beliau datang dan beliau boleh temu bual setiap penumpang,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

