Tiada kos tambahan LRT3 walaupun lewat siap, kontraktor dikenakan denda RM2.729 juta sehari – Hasbi

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KERAJAAN menegaskan projek Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) tidak membabitkan sebarang pertambahan kos meskipun berlaku kelewatan menyiapkan projek itu, kerana ia dilaksanakan menerusi kontrak harga tetap.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sebaliknya kontraktor berdepan denda lewat siap sebanyak RM2.729 juta sehari susulan kelewatan menyiapkan projek berkenaan.

Beliau berkata, kelewatan itu berpunca daripada beberapa isu pengintegrasian sistem yang dikesan ketika ujian kritikal dijalankan sebelum laluan itu dibenarkan beroperasi.

“Ujian integrasi dijalankan berulang kali secara iteratif sehingga semua isu berjaya diselesaikan bagi menjamin keselamatan, keselesaan pengguna serta kelancaran operasi tren.

“Ingin dijelaskan juga bahawa tiada sebarang penambahan kos memandangkan projek ini merupakan projek kontrak harga tetap. Malah, kontraktor berhadapan denda lewat siap sebanyak RM2.729 juta sehari,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta penjelasan mengenai kelewatan dan pertambahan kos projek LRT3 sehingga menimbulkan persoalan terhadap kecekapan kerajaan mengurus projek pengangkutan awam.

Hasbi turut menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai tarikh operasi penuh LRT3 dan kapasiti sistem bagi menampung keperluan pengguna.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, Laluan Shah Alam yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer dilancarkan Perdana Menteri semalam sebelum mula beroperasi sepenuhnya hari ini selepas memperoleh pengesahan keselamatan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta kelulusan Kementerian Pengangkutan.

Katanya, bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, kerajaan menawarkan tambang percuma selama 30 hari bermula hari ini hingga 31 Julai depan, merangkumi perkhidmatan tren LRT3 serta bas perantara di sepanjang laluan berkenaan.

Hasbi berkata, operasi LRT3 menggunakan 22 tren tiga gerabak yang mampu menampung sehingga 6,210 penumpang sejam bagi setiap arah atau 223,560 penumpang sehari.

“Unjuran jumlah perjalanan penumpang harian pada tahun pertama operasi ialah seramai 67,000 orang sehari.

“Justeru, kapasiti perkhidmatan LRT3 adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna di sepanjang laluan ini,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan LRT3 merupakan pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan awam negara dan diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan pengangkutan awam, khususnya di koridor Shah Alam.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan lanjut perjanjian cari MH370 setahun lagi, kekal konsep ‘no find, no fee’

JEMAAH Menteri bersetuju melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian bangkai pesawat Malaysia...

More Articles Like This