JEMAAH Menteri bersetuju melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 di dasar laut Selatan Lautan Hindi selama 12 bulan lagi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelanjutan perjanjian itu berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2027, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memberikan penutupan (closure) yang sekian lama dinantikan keluarga mangsa tragedi itu.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 26 Jun lalu.
“Pelanjutan ini mengekalkan semua terma dan syarat utama dalam perjanjian sedia ada, termasuk penggunaan prinsip ‘no find, no fee’.
“Mengikut prinsip itu, Kerajaan Malaysia tidak perlu membuat sebarang bayaran kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 gagal ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke berkata, kerajaan hanya akan membuat bayaran sebanyak AS$70 juta kepada Ocean Infinity sekiranya syarikat berpangkalan di United Kingdom itu berjaya menemukan bangkai pesawat berkenaan.
Beliau berkata, kelulusan melanjutkan tempoh perjanjian itu bertujuan membolehkan baki kawasan pencarian seluas 7,428.54 kilometer persegi diselesaikan sepenuhnya.
Katanya, keputusan itu turut mengambil kira komitmen kontrak komersial baharu yang diterima Ocean Infinity, sekali gus memerlukan aset utama operasi syarikat itu ditugaskan ke lokasi lain buat sementara waktu.
“Penugasan dan penjadualan semula aset hanya boleh dilaksanakan bermula November 2026 hingga April 2027, iaitu ketika musim laut lebih tenang bagi menjamin keselamatan serta keberkesanan operasi pencarian,” katanya.
MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, sekali gus mencetuskan antara misteri penerbangan terbesar dunia yang masih belum terungkai.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

