PENYANYI Once Mekel atau Elfonda Mekel sudah berjumpa dengan Ahmad Dhani di Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia yang terletak di Rasuna Said, Jakarta, Indonesia, kelmarin.
Menurut laporan Kompas, penyanyi berusia 53 tahun itu berjanji kepada Dhani bahawa dia tidak akan lagi menyanyikan sebarang lagu ciptaan daripada ahli kumpulan Dewa 19 itu.
“Jangan khuatir saya tidak lagi akan membawa lagu Dhani di Dewa 19 lagi,” katanya.
Menurutnya lagi, dia akur dengan segaLA peraturan tentang pengagihan royalti muzik dan meminta pihak penganjur bertanggungjawab berhubung isu pembayaran royalti.
“Saya kalau buat kontrak dengan penganjur, mereka yang bertanggungjawab membayar royalti terhadap penampilan saya.
“Mereka yang perlu bayar seperti yang tertulis pada kontrak saya,” jelasnya.
Namun begitu, Dhani atau Dhani Ahmad Prasetyo, 51, sependapat dengan Once dan menjelaskan masalah yang berbangkit itu seharusnya di bawah tanggungjawab pihak penganjur dan bukan penyanyi Dealova itu sendiri.
“Bukan Once yang bertanggungjawab untuk membayar. Jadi jangan tanya Once sama ada dia perlu bayar atau tidak kerana itu bukan tanggungjawab dia,” ujarnya.
Terdahulu, bekas vokalis Dewa 19 itu mengulas mengenai tuduhan bahawa pihaknya tidak membayar royalti kepada Dhani ketika membawakan lagu-lagu milik Dewa 19 sewaktu temu bual yang diadakan pada Mac lalu.
Once juga ada memaklumkan perkara itu masih dalam perbincangan pihak pengurusan antara kedua-dua pihak.

