Fenomena di sebalik cahaya ganjil di kaki langit

Dari Penulis

SEJAK akhir-akhir ini, sering dilaporkan penampakan cahaya aneh di langit yang sering dirakam oleh pengguna media sosial. Pelbagai andaian timbul berkaitan fenomena ganjil ini.

Dari sudut saintifik, pelbagai kejadian semula jadi alam contohnya pertembungan seperti kristal ais, sinaran matahari, tenaga magnet Bumi, angin solar serta adanya gas-gas serta partikel-partikel lain di udara dapat berinteraksi untuk menghasilkan sesuatu cahaya yang kelihatan luar biasa di langit.

Apa antara fenomena alam semula jadi yang boleh menghasilkan cahaya-cahaya misteri di kaki langit ini?

TIANG CAHAYA

Terhasil disebabkan adanya kristal ais di udara. Cahaya sebegini biasanya terjadi kerana kristal ais memantul cahaya daripada cahaya lampu serta sumber lampu yang lain dari Bumi. Ia bukan disebabkan oleh cahaya matahari ataupun bulan. Jika seluruh bandar bergelap, tiang-tiang cahaya ini akan padam. Tiang cahaya adalah hasil daripada tangan-tangan manusia dan elemen-elemen semula jadi yang terdapat di atmosfera.

Tiang cahaya.

SPRITE

Sewaktu ada awan ribut serta panahan kilat, akan terjadi satu fenomena bercahaya yang dipanggil Sprite. Ia berbentuk cahaya kemerahan yang memanjang beratus kilometer di paras yang tinggi. Sinaran kilat hanya terjadi di antara awan dan bumi. Sprite pula terhasil di atas awan. Sekilas pandang ia kelihatan seperti obor-obor dengan kaki-kakinya memanjang ke bawah.

Sprite.

AURORA

Aurora adalah hasil daripada pertembungan angin solar dari matahari yang bergesel atau bertemu dengan tenaga magnet yang terdapat di Kutub Utara dan Selatan. Angin matahari yang mengandungi partikel yang dicaj menghasilkan campuran warna hijau, merah dan biru bila mengenai tenaga magnet Bumi. Aurora hanyalah boleh dilihat di kawasan Kutub Utara dan Selatan sahaja.

Aurora.

SINARAN IRIDIUM

Sinaran Iridium (Iridium Flare) adalah suatu fenomena di mana sinaran cahaya matahari dipantul oleh panel solar yang terdapat pada sesebuah satelit Iridium yang berada di luar Bumi. Sekali imbas, kita mungkin menyangka telah melihat UFO yang melintas tinggi di langit.

Iridium.

AWAN LENTIKUR

Awan lentikur rupanya kelihatan seperti UFO gergasi di langit. Awan ini akan bersinar jika terkena sinaran matahari, apatah lagi jika terdapat kristal ais di dalam awan. Pancaran sinaran matahari boleh memantul dan memecah cahayanya dalam perbagai warna membuatkan ia kelihatan seperti sebuah piring terbang yang bersinar.

Awan lentikur.

UFO

UFO atau ‘Objek Terbang Tidak Dikenali’ yang biasa dikaitkan dengan makhluk asing. Seperti kebanyakan fenomena alam semula jadi, UFO tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Untuk membezakan UFO dengan semua cahaya misteri lain di langit, perlu diperhatikan cara pergerakannya atau cara ia terbang.

Gempa Bumi

Gempa bumi mampu menghasilkan cahaya yang disebabkan oleh tekanan kepada batu quartz sehingga memicu kemunculan sejenis bebola  cahaya. Yang dipanggil ‘cahaya gempa bumi’ (earthquake lights). Cahaya gempa bumi biasanya datang dalam perbagai bentuk, saiz dan warna. Selalunya dalam bentuk cahaya yang berwarna warni. Cahaya tersebut akan melonjak naik sehingga 200 ke 300 meter ke langit dalam beberapa saat sahaja. Angin gempa bumi juga boleh menyebabkan berlakunya satu bentuk letupan cahaya seakan bunga api tetapi berskala kecil.

Cahaya gempa bumi.

Cahaya St Elmo

Cahaya St Elmo diberi namanya oleh kelasi di laut pada zaman dahulu di Amerika. Sewaktu di lautan, kelasi kapal sering melihat sejenis cahaya kebiruan yang memancar dari tiang kapal. Cahaya tersebut didapati tidak panas serta tidak membakar. Mereka percaya kemunculannya adalah satu petanda baik lalu menggelar cahaya misteri itu sebagai St Elmo. Menurut teori, ribut awan menghasilkan caj elektrik yang kuat di antara awan dan bumi. Medan elektrik ini boleh ditingkatkan jika ada sebarang besi, tiang atau tiang di kapal layar. Jika medan elektrik ini terlalu kuat, ia akan memecah molekul udara menjadi partikel yang bercaj elektrik yang akan bertukar rupa menjadi sejenis plasma serta mengeluarkan sinaran cahaya.

Cahaya ST Elmo.

Will-o’-the-wisp

Will-o’-the-wisp adalah satu nama yang diberikan oleh orang zaman silam bagi misteri kemunculan cahaya pudar yang muncul berdekatan dengan tanah. Cahaya ini tidak terang serta tidak bergerak laju. Cahaya ini biasanya dilihat di kawasan berpaya. Ia ada kaitan dengan gas-gas seperti methan yang terhasil dari bahan yang reput di dalamnya. Manifestasinya dilihat tidak kekal lama.

Cahaya ‘will o the wisp’.

Bebola Kilat

Apabila kilat menyambar bumi, ia boleh menyebabkan tindak balas dari mineral yang ada di dalam tanah. Antara mineral tersebut ialah silikon. Silikon yang tertekan boleh menghasilkan satu reaksi kimia untuk menghasilkan filamen atau pecahan rangkaian filamen yang berinteraksi dengan oksigen di udara lalu menyebabkan terjadinya suatu sinaran cahaya. Warna cahaya tersebut bergantung kepada kandungan elemen yang terdapat di dalam tanah di sesuatu kawasan. Bebola cahaya ini hanya muncul beberapa saat sahaja sebelum hilang. Selalunya ia boleh diliuhat sewaktu adanya petir.

Sinaran Hijau

Sinaran hijau atau Green Flash biasanya terjadi beberapa saat sebelum matahari terbenam. Warna matahari tetap sama tetapi berlaku fatamorgana di mana cahaya matahari kelihatan seakan bergelombang kehijauan. Ia terjadi disebabkan oleh atmosfera Bumi yang mengasingkan cahaya putih menjadi berbagai warna.

Pancaran Kilat

Biasanya kita lihat kilat akan memancar atau memanah dari atas awan ke bawah. Tetapi terdapat juga aktivitinya yang berlaku secara terbalik di mana kilat akan memanah naik ke langit. Fenomena ini mula disedari pada 1935 apabila dilihat kilat menyambar naik dari bangunan tinggi ke awan ribut. Ahli meteorologi sedar terdapat satu panahan kilat dalam seribu yang akan memanah dari bumi naik ke awan.

Dua Matahari (Sun Dog)

Sun dog atau Parhelia atau fenomena ‘Dua Matahari’ disebabkan oleh pecahan sinaran cahaya matahari dalam kristal ais di dalam atmosfera. Sun dog biasanya akan terhasil dalam bentuk sepasang di mana satu kelihatan di sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan matahari pada kedudukan 22 darjah. Fenomena ini boleh terhasil di semua tempat di dunia tanpa mengira musim. Waktu terbaik melihat Sun Dog adalah pada waktu pagi atau petang di mana matahari berada dekat dengan ufuk.

Sun Dog

HALO

Berbeza dengan Sun Dog, HALO merupakan sinaran atau bulatan cahaya yang kelihatan mengelilingi matahari dan bulan. Ia juga terhasil disebabkan oleh adanya kristal ais di udara. Ia ada kaitan dengan awan jenis cirrus yang berada pada ketinggian 20,000 kaki. Cahaya dari matahari atau bulan ada yang terpantul pada kristal-kristal ini dan ada juga yang menembusinya lalu memecahkan sinaran tersebut. Maka terhasillah sebuah bulatan cahaya mengelilingi matahari atau pun bulan. Para saintis menggelar fenomena ini sebagai Halo 22 Darjah.

HALO

AWAN BERSINAR

Awan bersinar boleh disebabkan oleh sinaran matahari yang terkena pada kristal ais di dalam awan. Jika awan itu berbentuk lentikur, ia akan kelihatan seperti sebuah UFO. Awan jenis ini tidak bergerak dan akan lebur atau bertukar bentuk dalam masa beberapa minit sahaja.

Awan lentikur.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Di dasar laut, saya menemui kebesaran Allah’ – Afizah 

"Saya sangka dasar laut hanya dipenuhi ikan dan batu karang. Rupa-rupanya, di situlah saya belajar erti kehidupan." Luah Pengasas Mikraj...

More Articles Like This