Sebenarnya bagaimana kita menilai kemeriahan hari raya yang kita lalui saban tahun? Adakah perlu kita mentafsir kemeriahan itu dengan persiapan yang serba baru, contohnya baju baru, langsir baru, perabot baru malah gaya penampilan yang baru.
Atau adakah kita harus memberi penekanan dan keutamaan terhadap amalan-amalan yang sewajarnya kita raikan seperti ziarah menziarahi, saling bermaaf-maafan ataupun menunaikan solat sunat hari raya?
Walau apa sahaja penilaian kita, seharusnya ia masih berada di dalam landasan yang betul. Malah bagi Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato Dr. Fariza Md Sham, beliau menjelaskan hal sepatutnya yang kita lakukan dalam meraikan Syawal sekalipun kita sedih kerana terpaksa meninggalkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, banyak pengorbanan yang berjaya kita harungi. Namun juga kita digalakkan untuk meraikan Syawal yang memberi maksud istimewa buat umat Islam dengan perasaan gembira.
Syawal itu adalah hari kemenangan buat umat Islam yang baru lepas jihad jiwanya. Melepasi Ramadan, umat Islam menyambut Syawal setelah berjaya berjihad dalam melaksanakan puasa, berjihad dalam melawan hawa nafsu malah sabar dalam melakukan ibadat kepada Allah S.W.T. Rasulullah sendiri pernah menyuruh untuk kita meraikan dengan meriah. Namun ia haruslah ada batasannya.
Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis nabi yang diriwayatkan daripada Saad bin Aus Al-Ansari, Baginda bersabda,
“Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum Muslimin menghadap tuhan yang pemurah yang memberikan kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan Qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati tuhan kamu maka kamu terimalah balasan Aku, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru,
“ketahuilah bahawasanya tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itulah adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari Aljaizah (hari mendapat ganjaran).”
Selain itu, kita juga disarankan memahami konsep sebenar Hari Raya Aidilfitri. Jelas Dr. Fariza, hari raya itu sendiri merupakan satu ibadah. Ibadahnya apabila umat Islam pergi menunaikan solat sunat hari raya serta mandi sunat yang mana keutamaan kita melakukan semua perkara ini adalah untuk meraikan kemenangan.
Umat Islam sewajarnya meneruskan amalan-amalan yang dapat memberi kebaikan kepada umat sejagat. Hidupkan kembali amalan mulia yang hampir pudar seperti kunjung mengunjungi rakan taulan dan sanak saudara. Lakukan peranan sebagai orang yang lebih tua untuk mendidik anak-anak supaya mereka meneruskan amalan mulia ini.
Namun meriahnya hari lebaran bukan bermaksud untuk kita membazir dan berlebih-lebih. Hukumnya adalah haram sekiranya kita berlebihan kerana membazir itu adalah amalan syaitan. Biarlah sederhana, jangan mengikut hawa nafsu dan melampaui batas sehingga melangkaui konsep puasa yang diamalkan sebelum ini. Meriah yang dituntut semasa hari raya adalah di jiwa dan silaturahim. Wallahu a’lam
______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

