Ini tumbuhan unik yang pandai ‘membalas dendam’, tak akan berdiam diri jika dikhianati

Dari Penulis

Tumbuh-tumbuhan diketahui memberi manfaat kepada manusia, haiwan bahkan alam ini. Bukan saja sebagai sumber makanan, malah ia pembekal oksigen untuk hidupan di Bumi ini.

Ahli botani yang mengkaji pelbagai jenis tumbuhan mendapati ia juga mempunyai kepelbagaian tersendiri. Namun, pernahkah anda mendengar tumbuhan yang mempunyai sifat untuk membalas dendam?

Kedengaran agak pelik, tetapi itulah keistimewaan yang dimiliki oleh sejenis spesies tumbuhan hutan yang dikenali sebagai pokok ara ini. Buah daripada pokok yang tergolong dalam spesies Moroceae itu dikatakan mampu untuk membalas dendam jika dikhianati, bahkan turut ‘membunuh’ mangsa serta keturunannya.

Pohon ara, pohon yang dikatakan mempunyai sifat membalas dendam mengikut kajian pengkaji.

Tumbuhan dan serangga mempunyai hubungan yang erat. Tumbuhan memberikan nektar iaitu sejenis cecair manis kepada serangga, manakala serangga pula akan bertindak sebagai agen untuk membiakkan benih tumbuhan berkenaan. Tetapi, bagaimana sekiranya haiwan tersebut tidak mematuhi aturan semula jadi ini?

Proses semula jadi ini sering berlaku dalam keadaan yang berat sebelah di mana haiwan atau serangga mendapat lebih banyak manfaat berbanding tumbuhan. Haiwan-haiwan boleh mendapatkan keperluan makanan secara percuma daripada tumbuhan, bahkan turut menyimpannya sebagai bekalan makanan dalam tempoh tertentu.

Tetapi, berbeza dengan tumbuhan lain, spesies pokok ara tidak akan berdiam diri jika dikhianati. Ia mempunyai cara tersendiri untuk membalas dendam, iaitu dengan membunuh anak-anak serangga yang ditelurkan di atas buahnya.

Menurut seorang pengkaji tumbuhan dari National Geographic Society, Georges Michaloud yang telah melakukan penyelidikan terhadap spesies buah ara, pokok ini mempunyai satu hubungan khusus dengan sejenis spesies lebah yang dikenali sebagai lebah ara.

Apabila lebah-lebah ini memerlukan madu, ia akan mendapatkannya daripada pokok ara, seterusnya bertelur di dalam buah. Sebagai galang gantinya, si lebah pula perlu menyebarkan benih pokok supaya ia dapat membiak.

Pokok berkenaan tidak mampu membiak jika proses pendebungaan tidak dibantu oleh lebah, manakala lebah pula tidak dapat hidup jika tidak mendapatkan sumber makanan daripada pokok ara. Dengan kata lain, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain.

Tetapi, jika proses sedemikian tidak berlaku dengan sempurna – yakni lebah tidak menjalankan tugasnya, tumbuhan ini akan menggugurkan buah yang mana di dalamnya terdapat telur-telur lebah yang belum menetas. Proses ini dilihat berlaku secara semula jadi di mana pokok ara seolah-olah tidak mengizinkan si lebah membiak sekiranya proses pendebungaan tidak dilakukan oleh serangga berkenaan.

Pokok ini tidak akan berdiam diri sekiranya lebah tidak menjalankan tugasnya.

Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh Georges Michaloud dan pasukan penyelidiknya melalui pemerhatian menggunakan kamera berteknologi tinggi, beliau mendapati terdapat lebah yang mementingkan diri sendiri dengan hanya mendapatkan makanan dan bertelur, kemudian pergi berlalu tanpa membawa benih pokok. Lalu apa yang terjadi ialah, sebahagian besar buah ara yang belum masak akan jatuh berguguran, seterusnya membunuh anak-anak lebah yang belum menetas atau meninggalkan buah.

Apa yang anehnya ialah, hanya buah yang mempunyai telur lebah sahaja gugur ke tanah. Manakala buah-buah lain yang tidak mengandungi telur kebanyakannya masih kekal berada di atas pokok berkenaan.

Kitaran lebah dan buah ara yang saling memerlukan.
Lebah yang tidak menjalankan tugas, pokok ini akan menggugurkan buah yang mengandungi telur serangga tersebut.

Dalam satu lagi eksperimen yang berasingan, Georges Michaloud turut melakukan pemerhatian yang hampir serupa. Tetapi kali ini dia cuba membuat perbandingan dengan lebah yang melakukan tugas mereka sebagai agen pendebungaan pokok ara.

Apa yang didapatinya adalah sangat berbeza dan kebanyakan buah ara yang mempunyai telur lebah masih kekal berada di atas pokok. Begitu juga dengan pokok ara yang langsung tidak dikunjungi lebah, keputusan yang diperoleh juga adalah serupa.

Ini menunjukkan, buah ara sememangnya memiliki sifat ‘dendam’ sekiranya ada serangga yang mengkhianati aturan semula jadi ini. Bagaimanapun, Georges masih tidak dapat menjelaskan bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Fakta Tambahan:

  • Buah ara yang dikeringkan juga dipanggil buah tin. Ia antara buah yang disebut dalam al-Quran. Terdapat pendapat yang menyatakan buah tin merupakan antara tumbuhan terawal yang ditanam manusia.
  • Pada Jun 2006, dilaporkan bahawa pokok Ara yang berusia 11,400 tahun telah di temui di Gilgal I, sebuah kampung yang terletak hanya lapan batu di utara bandar Jericho kuno di Palestin.
  • Terdapat satu spesies buah ara yang dikenali sebagai subfamili kambing kerana buahnya hanya sesuai dimakan oleh kambing sahaja tetapi tidak sesuai untuk manusia.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This