Buah-buahan bukan saja enak dimakan, malah banyak juga khasiatnya dari sudut kesihatan termasuk membantu melancarkan proses penghadaman.
Terdapat lebih 2000 jenis buah di seluruh dunia, dan setiap satunya itu pula ada pecahannya lagi. Namun, dalam Islam, hanya 6 jenis buah yang disebut dalam al-Quran iaitu…
1.BUAH TIN

Juga dipanggil buah ‘fiq’ atau buah ara. Buah ini bukan sekadar disebut dalam Al-Quran malah ada surah khas untuknya iaitu surah At-Tin. Khasiat buah ini banyak terbukti melalui pelbagai kajian.
- Kaya dengan mineral, vitamin dan tinggi serat yang baik untuk bahagian usus bagi mengelakkan masalah sembelit dan cirit birit.
- Ketinggian seratnya membantu mengurangkan berat badan. Mengandungi pektin, sejenis serat boleh larut yang membantu membuang kolesterol berlebihan dalam badan.
- Bukan hanya buah, daun pokok ini juga membantu mengurangkan jumlah insulin yang diperlukan pesakit diabetis. Daunnya juga boleh digunakan untuk masalah pernafasan dan baik untuk mengurangkan simptom asma.
- Buah tin yang dikeringkan mengandungi asid-asid lemak yang berfungsi mengurangkan risiko penyakit jantung.
- Juga baik untuk mengurangkan kesan hipertensi kerana kandungan potassium yang tinggi dan sodium yang rendah.
2.BUAH ZAITUN

Buah yang matang biasanya berwarna hijau dan akan bertukar warna hitam setelah masak. Di rantau Mediterranean, 90 peratus buah zaitun digunakan untuk menghasilkan minyak zaitun. Buah ini disebut sebanyak 7 kali dalam al-Quran iaitu di dalam surah an-Nahl, surah al-An’am, surah an-Nur, surah al-Mu’minun, surah ‘Abasa dan surah at-Tin.
- Tinggi antioksidan yang membantu melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan yang disebabkan radikal bebas.
- Membantu menurunkan paras gula dalam darah. Bermakna amat sesuai untuk pesakit diabetes.
- Mengurangkan tekanan darah.
- Kandungan asid lemak dan vitamin E dalam buah ini membantu menyuburkan rambut dan meningkatkan kesihatan kulit.
- Asid lemak dalam buah zaitun membantu mengekalkan daya ingatan, mengurangkan masalah hilang ingatan dan mencegah kematian otak akibat penyakit. Ia juga mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.
- Memelihara fungsi hati dan mengurangkan risiko penyakit hati berlemak. Juga membantu melindungi sel daripada mutasi yang boleh menyebabkan kanser.
3.BUAH DELIMA

Buah delima terkenal dari sudut sains sebagai ejen antioksidan dan keupayaannya melawan kanser. Buah ini disebut sebanyak 3 kali dalam al-Quran iaitu dalam surah al-An’am dan surah ar-Rahman.
- Kaya dengan sumber nutrien penting seperti vitamin C, kalium dan serat yang meningkatkan kesihatan pencernaan dan mencegah sembelit.
- Kaya antioksidan terutamanya polifenol dan antosianin yang membantu meneutralkan radikal bebas dalam badan serta mengurangkan tekanan oksidatif dan keradangan.
- Menurut pakar diet, ada kajian yang membuktikan pengambilan buah delima memberi kesan positif pada ingatan dan fungsi kognitif yang berpotensi mengurangkan risiko penyakit nyanyuk atau pelupa.
- Mempunyai sifat antibakteria dan antivirus yang membantu meningkatkan sistem imun tubuh badan dan melindungi daripada jangkitan.
4.BUAH KURMA

Paling jelas buah ini dinyatakan dalam surah Mariam yang menceritakan tentang kelahiran Nabi Isa a.s. Selain itu, buah ini juga amat sinonim dengan umat Islam di bulan Ramadan. Buah kurma disebut sebanyak 26 kali dalam al-Quran.
- Kaya karbohidrat, vitamin, mineral, serat dan antioksidan yang baik untuk tubuh badan dan mengurangkan risiko pelbagai penyakit,
- Sumber serat yang melancarkan pencernaan dan mencegah sembelit.
- Kandungan fruktosa membantu mengawal gula dalam darah. Ia juga mengandugi flavonoid yang mengurangkan risiko nyanyuk dan kanser.
- Kajian menunjukkan kurma meningkatkan daya ingatan dan mengurangkan inflamasi pada otak. Ia juga mengandungi fosfor kalium, kalsium dan magnesium yang menguatkan tulang.
5.BUAH ANGGUR

Anggur mula ditanam sejak zaman Nabi Nuh a.s. Buah ini disebut sebanyak 8 kali dalam al-Quran. Ia kaya dengan mineral, vitamin dan zat nutrien yang baik untuk tubuh badan.
- Kandungan polifenol dan serat dalam anggur membantu menurunkan kadar gula dalam darah. Buah ini amat disarankan untuk pesakit diabetes.
- Kandungan serat larutnya baik untuk proses penghadaman. Sebatian seperti lutein dan zeaxantin pula membantu mencegah penyakit mata seperti katarak dan glaukoma.
- Vitamin C dalam anggur menyumbang kepada peningkatan sistem imun dan menggalakkan penghasilan sel darah putih. Komponen antioksidan pula berpotensi menghalang pembentukan sel abnormal seperti tumor.
- Vitamin B2 dalam anggur hitam membantu mencegah gejala migrain atau sakit kepala. Anggur juga sesuai untuk orang yang menghadapi masalah sukar tidur.
6.PISANG

Buah yang tinggi kandungan fiber ini disebut sekali dalam al-Quran iaitu dalam surah al-Waqiah. Pisang memberi tenaga. Kajian menunjukkan dua biji pisang cukup membekalkan tenaga untuk senaman selama 90 minit.
- Pisang mengandungi tiga jenis gula semula jadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa. Juga mengandungi tryptophan, sejenis protein yang boleh memberikan rasa tenang dan gembira.
- Kandungan vitamin B6 dalam pisang boleh meneutralkan paras glukosa dalam darah.
- Kaya dengan zat besi yang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah dan membantu masalah anemia.
- Kadar potassium tinggi dan garam rendah menjadikan pisang sesuai untuk menstabilkan tekanan darah.
____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

