Dalam konsep Islam, Allah S.W.T. menciptakan sesuatu itu ada pasangan lawannya. Begitu juga dalam surah an-Nahl (lebah) pasangan lawannya adalah surah al-Ankabut (labah-labah). Labah-labah yang difirmankan Allah dalam ayat 41 memberi konotasi yang berbeza dengan lebah.
“Perumpamaan orang yang meminta perlindungan selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya). Dan sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”
Dalam ayat ini, labah-labah yang disebutkan hanyalah satu modul negatif yang merujuk kepada sifat orang yang tidak beriman kepada Allah. Jika ingin dilihat dalam konteks masyarakat pula, habitat labah-labah hidup dengan mandiri.
Kita lihat bagaimana habitat seekor labah-labah. Jika lebah hidup dalam bermasyarakat dan ada organisasinya tersendiri. Labah-labah pula berbeza, ia hidup sendiri bahkan hanya menunggu makanan dan bukan keluar mencari makanan sebagaimana lebah.
Kiasan dalam surah al-Ankabut dengan prosa kata (pada hal sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah) menunjukkan rumah labah-labah adalah sangat lemah sekalipun menjadi tempat memerangkap makanannya.
Labah-labah yang hanya menunggu makanan datang membawa kiasan binatang yang lemah, sedangkan jika dalam konteks kehidupan manusia, Allah menuntut umatnya agar keluar berusaha mencari makanan sendiri
Hidup bergantung
Mungkin ada yang kata rumah labah-labah ibarat satu saf kerana patennya yang berbaris-baris. Namun jika diperhalusi rumahnya, ia tidaklah seteguh mana. Bahkan untuk membina rumah tersebut, ia memerlukan tempat kebergantungan dan bertaut yang banyak, agar rumah itu dapat didirikan dengan baik.
Pembinaan ini menjadi kiasan dalam masyarakat, jika hanya bergantung pada seseorang atau organisasi tertentu, pasti selamanya tidak akan mampu berdiri sendiri, kuat dan berjaya. Malahan rapuh dan runtuh sebagaimana rumah labah-labah.
Dan sekiranya mengambil signifikan dari rumah labah-labah pada pelbagai sudut negara seperti kebergantungan terhadap aspek ekonomi, sosial, politik dan sebagainya, sudah tentu juga ia memberi masalah pada negara kita sendiri.
Andai kita meletakkan kebergantungan pada orang lain, sudah pasti ia inginkan timbal balik. Tidak mungkin hanya sekadar membantu sahaja tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Sekiranya berlaku sedemikian, pasti ia meletakkan kedudukan kita atau negara dalam kedudukan yang tidak selamat. Sebenarnya, itulah yang berlaku di dalam masyarakat kita sekarang ini.
Banyak perkara sebenarnya kita bergantung pada institusi-institusi lain terutama dari sudut ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Dari sudut kedaulatan juga kita ada pergantungan, seperti dengan negara China dan beberapa negara lain. Ini satu cabaran yang sangat berat terutama kepada pemimpin dan negara.
Kebergantungan ini menjadi masalah pada kita. Walaupun ketika ini kita banyak bergantung pada mana-mana organisasi luar, namun kita perlu mengorak langkah meminimumkan kebergantungan itu. Kalau boleh dari labah-labah kita hendaklah beransur-ansur bertukar menjadi lebah. Ini tindakan yang seharusnya kita ambil agar tidak berterusan menjadi si labah-labah.
Apa pun sekiranya ingin mengorak langkah itu, ia perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukan hanya memilih sama ada Islam atau tidak. Hal ini kerana yang menjadi rahmat itu bukan sekadar mencakupi Islam sahaja, tetapi sasarannya lebih luas. Itu yang menjelaskan bahawa “Kami mengutuskan rasul sebagai rahmat bagi seluruh alam.”
Memang benar ada beberapa perkara dan isu yang hanya dikhususkan untuk umat Islam sahaja cakupan takluknya. Namun itu hanyalah dari sebahagiannya sahaja, manakala selebihnya ia menuntut untuk diaplikasikan kepada bukan Islam.
Al-Quran ini sebagai teks yang berlapis-lapis yang mana sifatnya seperti sulaman kain yang di dalamnya sudah cukup lengkap. Hanya perlukan gunting untuk membuka kaitan-kaitan yang berlapis-lapis itu.
Rahsia al-Quran tidak akan habis untuk dikaji selamanya. Ada ayat-ayat yang boleh kita ambil untuk dikaji dan difikirkan secara tuntas. Inilah tanda bagi orang yang berfikir. Wallahu a’lam
________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

