Siri 1: Menakjubkan, ketahui bagaimana al-Quran mengungkap rahsia lebah

Dari Penulis

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, “buatlah sarang-sarang di bukit- bukit, di pohon-pohon kayu, dan di bangunan-bangunan yang dibina manusia. Kemudian makanlah daripada tiap-tiap (jenis) buah-buahan, lalu ikutlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu).

Daripada perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang memikirkannya.” (an-Nahli: 68-69).

Dan surah al-Ankabut: 41 Allah berfirman, “Perumpamaan orang yang meminta perlindungan selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya). Dan sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”

Berbicara dari sudut tafsiran ayat dalam kedua-dua surah ini, Pensyarah Jabatan al-Quran dan  as-Sunnah, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Sahlawati Abu Bakar ada pandangannya sendiri.

Baginya kedua-dua surah yang memperihalkan tentang lebah dan labah-labah ini ada persamaan dari sudut membuat tempat tinggal. Lebah membuat rumah (menggunakan prosa buyut) sebagai maksud jama’ iaitu gunung ganang, pokok-pokok dan kediaman manusia.

Manakala Labah-labah pula menggunakan perkataan baitan yang membawa maksud tunggal (satu rumah). Dari sudut lughah, ia merujuk kepada satu rumah sahaja membawa maksud tanpa ada bahagian-bahagian tertentu seperti lebah.

Manakala ramai dalam kalangan mufassirin membincangkan tentang betapa kompleksnya susun atur binaan rumah lebah serta tugasan setiap lebah, sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Kathir.

Persoalan yang menjadi perbincangan hangat, bagaimana serangga sekecil ini mampu membina sarang yang sedemikian hebat dan kompleks? Sungguh menakjubkan, selama jutaan tahun lebah telah menggunakan struktur segi enam untuk membina sarangnya. Mengapa segi enam, dan bukan segi lima, empat atau lapan?

Baca juga: Jadilah seperti lebah bukan seperti labah-labah

Menurut ahli matematik, struktur segi enam adalah bentuk geometri yang paling sesuai untuk memanfaatkan setiap ruang unit secara maksimum. Jika sel-sel sarang madu dibuat dalam bentuk lain, akan terdapat ruang yang tidak terpakai, sehingga menyebabkan lebih sedikit madu yang boleh disimpan dan lebih sedikit lebah yang mendapat manfaatnya. 

Jelas Sahlawati, merungkai bagaimana hebatnya lebah ini membina sarang, kuncinya terletak pada perkataan awal ayat tersebut. Pada ayat 68 ini, Allah telah memulakannya dengan perkataan (wa auha) yang bermaksud wahyu. Namun bagi selain nabi terjemahan yang tepat adalah ilham.

Dalam konteks tafsiran ini, binaan sarang bukan dari fitrah lebah itu sendiri, tetapi Allah lah yang telah memberikan ilham kepada lebah agar ia dapat membuat sarangnya dengan cukup teliti dan hebat. Ini membuktikan bahawa sifat Allah juga yang sangat hebat kerana mencipta makhluk yang hebat.

Analogi yang sama juga bagaimana Allah mewahyukan kepada nabi Nuh a.s. membina bahtera yang sangat hebat. Sedangkan nabi Nuh a.s. bukanlah seorang arkitek atau tukang kayu. Namun dengan wahyu yang telah Allah berikan kepada nabi Nuh a.s. ia mampu membina bahtera yang sangat besar dan hebat melangkaui kemampuannya. 

Dalam ayat 68 juga Allah menyebutkan yang lebah membuat sarangnya pada tiga tempat, sebaliknya bagi labah-labah, Allah tidak menyebutkan pula di mana sarangnya dibina. Konotasi ini memperlihatkan bahawa Allah berkuasa menciptakan sesuatu itu mengikut kehendak Nya. Secara tidak langsung juga, ia mampu memberi kiasan pada manusia untuk mengikut sifat serangga mana yang memberi impak positif pada manusia.  

Dalam ayat yang lain, Allah memerintahkan lebah agar menjadikan nektar tumbuhan sebagai makanan serta mengikut jalan-jalan yang mudah. Secara asasnya kita faham ini merupakan sifat semula jadi lebah mencari makanan, namun mengikut tafsiran mufassirin,  jalan yang dikata itu membawa maksud tatkala ia keluar untuk mencari dan mendapatkan madu, ia perlu minum dari nektar dan pulang kembali ke sarang mengeluarkan madu.

Lebih indah lagi ciptaan lebah ini, separuh dari nektar yang ada dalam perutnya dikeluarkan untuk menghasilkan madu, manakala sebahagian lagi untuk keperluan tubuhnya.

Olahan keluar yang dimaksudkan oleh Ibnu Kathir ialah apabila lebah keluar mencari nektar, bermakna ia akan kembali semula ke sarangnya tanpa tersesat sekalipun jarak perjalanannya terlalu jauh. Secara semula jadinya, Allah menciptakan lebah mempunyai pengesan yang dapat kembali ke sarangnya dengan tepat, tanpa tersesat ke dalam sarang lebah yang lain.

Selain itu, tambah Sahlawati, perkataan min (dari) memberi tafsiran yang jelas binaan sarang tersebut bukanlah dari sembarangan gunung, pokok, atau tempat. Ia mestilah tempat yang terpilih dan dirasakan sangat sesuai persekitarannya supaya madu yang terhasil adalah madu yang berkualiti.

Prosa kata (dan yang dari perutnya itu minuman yang berbagai warna) menjelaskan warna madu itu terhasil dengan pelbagai warna. Ada yang pekat, cair, coklat, hitam, kuning dan pelbagai lagi jenis. Allah juga tidak menggunakan perkataan asal (madu), sebaliknya Allah menggunakan istilah syarab (minum) supaya ia membawa maksud yang lebih umum lagi. Wallahu a’lam

____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pengurusan Islam Malaysia Diiktiraf di Mekah, Dr. Zulkifli Bawa Suara Negara ke Pentas Global

MALAYSIA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa pemikir dalam dunia Islam apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),...

More Articles Like This