Mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan wanita menjalani gaya hidup yang lebih sihat dan bertenaga, badan bukan kerajaan (NGO) Wiranita menganjurkan program masakan menu sarapan pagi yang sihat.
Jelas Penaung Wiranita, Puan Sri Nisa Bakri, dengan masyarakat berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi selain kekangan masa akibat kesibukan tugas, penyediaan makanan yang sihat dan sedap dengan harga yang lebih rendah mungkin agak mencabar.
Program dengan penampilan khas chef yang diterbangkan dari Amerika Syarikat, Chef Daniel Green berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur dengan menyaksikan Nisa Bakri menyediakan menu Nasi Kerabu manakala Chef Daniel Green menghidangkan menu Seafood Omelet With Thai Sauce.
Mengulas kehadiran Daniel Green sebagai jemputan, jelas Nisa Bakri, chef selebriti itu merupakan pengamal menu sihat dan telah menulis 12 buku mengenai pemakanan sihat.
“Saya mula mengenali Chef Daniel di World Gourmet Award dan dari situ kami banyak bertukar pandangan mengenai dunia kulinari dan pemakanan sihat. Dan daripada situ kami mula merancang untuk bekerjasama untuk menyediakan menu sihat versi saya dan versi Chef Daniel. Dan inilah hasilnya,” jelas Nisa.
Menurut Daniel, trend pemakanan sihat telah berubah dan banyak alternatif boleh digunakan untuk menghidangkan menu sarapan pagi yang sihat.
“Saya mula menyediakan hidangan sihat sewaktu kehilangan berat badan. Jika sebelum ini kita boleh menikmati nasi dan kentang namun tak boleh ada lemak dalam hidangan. Kini trend sudah berubah dengan diet rendah karbohidrat dan lebih protein menjadi pilihan.
“Jadi kita boleh tukarkan nasi kepada bunga kobis dengan gabungan rasa yang disukai. Dalam menyediakan makanan, kita harus melihat jumlah karbohidrat yang diambil kerana ia akan berubah menjadi gula dalam badan,” jelas Daniel.

