HANGAT diperkatakan oleh netizen bahawa penyanyi dan pelakon, Bella Astillah atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah memiliki pakej lengkap namun tetap diduga dengan masalah rumah tangga bersama suaminya yang juga aktor, Aliff Aziz.
Menurut Bella, dia akui mencantikkan diri adalah lebih kepada untuk meningkatkan tahap keyakinan diri dan bukan untuk mengagumi orang lain.
Tambahnya, ada juga rakannya yang tidak ‘bersiap’ dan tugasnya hanya menjaga keluarga tetapi tidak ada masalah rumah tangga.
“Sejujurnya, saya cantik untuk diri saya sendiri dan semestinya untuk menaikkan lagi tahap keyakinan diri. Walaupun ada netizen yang mengatakan cantik pun suami curang, saya tak kisah semua iatu.
“Terpulang kepada setiap individu. Saya ada kawan yang tak ‘bersiap’ dan hanya menjaga anak, rumah serta suami tetapi suami dia tetap sayang. Perkara itu sebenarnya tidak hanya tertakluk pada kecantikan atau peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, penampilan terkini Bella turut mendapat perhatian warganet yang rata-rata memberi pendapat terlalu seksi.
Sedar akan kesilapannya itu, pennyanyi Bersama Di Hari Raya ini memohon maaf dan minta didoakan yang terbaik buat dirinya.
“Saya juga perasan tentang perubahan penampilan saya yang semakin seksi. Saya minta maaf atas hal itu dan saya baca juga komen tentang itu.
“Saya akan perbaiki diri dan saya minta untuk orang ramai doakan baik-baik untuk saya,” ujarnya kepada URTV.
Jangan beri peluang!
Ditanya juga tentang reaksi penyanyi berusia 29 tahun itu sekiranya ada yang cuba menggodanya, namun Bella tetap teguh dengan pendiriannya untuk enggan memberi layanan yang sama seperti memberi peluang kepada individu lain.
“Kalau kita tak bagi respon yang kita okay dengan orang itu, benda buruk tak akan terjadi. Jangan fokus kepada satu jantina, tapi lelaki dan perempuan memang ada potensi untuk curang.
“Apa-apa pun kembali kepada diri sendiri. Bagi saya, ia adalah penting untuk orang hormat kita dan seseorang itu tak akan berani buat lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui di Majlis Persembahan Secret Recipe x Universal Music Malaysia di sebuah pusat beli-belah terkenal
Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hargai pengorbanan ibu, mahu yang terbaik untuk anak-anak
Ditanya juga tentang persiapan sambutan hari Ibu, pelakon drama Kampung Kolestrol itu berasa sedih dan terharu apabila berkongsi tentang pengorbanan ibunya, Zarinah Salleh, 48, yang setia dengannya dari awal kerjayanya sewaktu masih kecil sehingga kini.

Menurut Bella, ibunya sentiasa memberikan pandangan yang positif jika melibatkan kontroversi kehidupannya dan memesan supaya berlapang dada serta muhasabah diri.
“Saya sensitif kalau bercakap tentang mama. Pengorbanan mama yang tidak terkira sebab mama sentiasa ada dari saya kecil sehingga besar dan dari Sabah ke Semenanjung.
“Mama saya sangat positif sehinggakan berpesan pada saya supaya terima dengan hati yang terbuka jika ada orang beri komen baik atau buruk.
“Mama pun sering mengingatkan saya supaya cermin diri sendiri dan tidak galakkan saya untuk membenci orang lain,” luahnya.
Sementara itu, sebagai ibu kepada dua cahaya mata dan harapannya sama seperti orang lain yang menginginkan yang terbaik untuk anak-anaknya.
Menurutnya, dia ingin anak perempuannya, Ara Adreanna, menjadi sepertinya yang rapat dan sentiasa ingin bahagiakan ibunya.

“Saya nak Ara jadi macam saya yang rapat dengan mama. Saya tak kisah orang nak kata saya anak emak. Dengan bangganya, saya mengaku.
“Sebab itu saya selalu luangkan masa bersama anak-anak dengan bawa mereka berjalan jika jadual kerja saya kosong. Kalau nak fokus kepada anak bermula usia 10 tahun susah juga, nanti mereka tak nak dengan kita,” katanya.
Penyanyi yang berasal dari Sandakan, Sabah dan bernaung di bawah Universal Music Malaysia
itu berkolaborasi bersama Secret Recipe dan menjayakan persembahan istimewa sempena sambutan Hari Ibu tidak lama lagi di pusat beli belah terkenal, Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

