Cerita kifarah dan pengajaran yang kerap dikongsikan segelintir jemaah sewaktu menunaikan ibadah Haji dan umrah di Tanah Suci tidak dinafikan memberi iktibar yang baik, namun ada kalanya menimbulkan ketakutan kepada sesetengah individu untuk ke Tanah Suci.

Kata mereka, orang berdosa tidak layak menjejakkan kaki ke Rumah Allah, malah ada yang takut menerima balasan daripada dosa silam yang dilakukan.

Menolak dakwaan tersebut, ulas Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd, Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan, Tanah Suci merupakan tempat bertaubat yang paling baik kerana Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Malah nilai membuat amalan di sana sudah tentu lebih bermakna.

“Nabi sebut orang yang bertaubat dari satu dosa, dia seperti tidak buat dosa. Manusia ini buatlah apa pun tetapi Allah itu Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Namun tak bolehlah buat dan bertaubat berulang kali.

“Kenapa nak takut untuk ke Tanah Suci kerana Allah Maha Pemurah dan Maha Pemaaf. Untuk beristigfar dari berbuat dosa, di sini pun boleh. Namun nilai membuat amalannya tidak sama seperti di Tanah Suci dan di sana ada suasana yang sesuai kerana kita akan rasa nak buat banyak amalan agar lebih dekat dengan Allah SWT. Jika di Tanah Suci, kita akan fokus dengan amal ibadah, berbeza dengan di Malaysia.

“Bagi saya Tanah Suci terbuka kepada semua orang Islam dan merupakan tempat bertaubat yang sangat besar. Sebab itu tidak kisah bagaimana diri kita, Tanah Suci adalah tempat yang perlu kita pergi. Hidayah perlu dicari, tak boleh tunggu dia datang,” ulasnya kepada Wanita.

Mursyid turut mengulas isu kenaikan harga pada pakej umrah dan menyatakan agensi kendaliannya menanggung separuh daripada kos agar tidak membebankan pelanggan.

“Jujurnya pakej kami tidak murah. Kami pernah menawarkan pakej murah sewaktu harga turun. Selepas pandemik kenaikan harga dari pembekal sangat tinggi seperti hotel dan tiket kapal terbang. Bayangkan harga tiket sahaja sudah mencecah RM5000.

“Apabila harga naik, jemaah kena tanggung namun di Mursyid Alharamain, kita akan tanggung separuh daripada kos naik. Memang tidak dinafikan ada kenaikan sehingga RM1300 namun itu ketika peak season. Isu ini berlaku secara tiba-tiba, bukan agensi sengaja naikkan kos,” tambahnya.

Hajah Intan Fairuz Ramli, Pengarah Operasi Mursyid Alharamain

Menasihatkan mangsa agar tidak berdiam diri untuk mengelak lebih ramai ditipu, ini antara tip yang dikongsi untuk mengelak daripada terkena scam umrah.

“Untuk mengelak dari terkena scam, saya nasihatkan pergi dengan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (Motac). Jemaah yang nak pergi umrah, pilih syarikat yang berlesen. Jika mereka membeli dengan syarikat yang tiada lesen dan ditipu, ke mana dia nak mengadu? Banyak kes scammer adalah kepada orang tengah yang tiada lesen. Mereka merasakan umrah ini bisnes yang boleh buat duit.

“Saya juga nasihatkan segala pembayaran dibuat melalui transaksi online, jangan beri secara tunai kerana sekurang-kurangnya kita ada bukti pembayaran. Bila bukti pembayaran tiada, bagaimana nak buat laporan polis?

“Ada juga segelintir yang ditipu enggan membuat laporan kerana kata mereka ini ujian dunia. Kalau mereka tidak buat laporan, orang lain pula akan menjadi mangsa,” ulasnya.

YB Datuk Seri Hj Zulkifli Al Bakri turut hadir memeriahkan sambutan 10 tahun : Sebuah Perjalanan Gemilang.

10 tahun bertahan dan berjaya melepasi dugaan pandemik Covid-19, Mursyid Alharamain turut berkongsi perjalanan gemilang dengan pembukaan restoran dan katering sendiri di Mekah dan Madinah dan terbaharu, mereka bakal menceburi bidang perhotelan melalui syarikat Orak Villa & Resort.

“Kami sudah lalui 10 tahun pertama, 10 tahun kedua kami membuat perancangan lebih besar pada peringkat korporat termasuk wujudkan kumpulan syarikat Mursyid Alharamain. Kami mahu menjadi seperti sahabat Rasulullah, Usman bin Affan yang juga hartawan yang membantu memperkasakan ekonomi umat Islam,” katanya.

Raihan antara tetamu jemputan Rumah Terbuka Syawal & Ulang Tahun ke-10 Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd.