Terharu akan sokongan dan kata-kata positif yang tidak putus-putus daripada peminat selepas tular cerita dia menjalani 10 kali pembedahan baru-baru ini, jelas pengacara popular, Naz Rahman atau nama sebenarnya, Nazrudin Habibur Rahman, ia hanya sekadar imbauan semula kisah lalu.
Menyatakan kini dia sudah sembuh sepenuhnya, namun keadaan fizikalnya yang kurus disebabkan oleh pembedahan membuang tumor dalam perut jenis gastrointestinal stromal tumor (GIST) yang mengurangkan 15 peratus saiz perutnya sekali gus menyusutkan tubuh badannya.
“Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang bertanya. Memang tidak putus-putus yang mesej saya di media sosial bertanya keadaan. Namun apa yang saya ceritakan, keadaan itu sudah agak lama berlaku, itu cerita lapan tahun lepas. Saya hanya buat pemeriksaan kesihatan setiap tahun dan Alhamdulillah semuanya okay.
“Jadi saya sekadar bercerita, namun tak sangka jadi begitu. Saya tidak marah, hanya nak khabarkan saya sihat. Kurus sebab perut sudah kecil, bila dah potong perut apa nak buat? Saya potong perut supaya sembuh.
“Asalkan setiap tahun kita jalankan pemeriksaan kesihatan dan semuanya baik-baik, kita boleh teruskan kehidupan. Terima kasih kepada mereka yang bertanya, Insya-Allah saya akan terus berkhidmat untuk anda semua,” ulasnya kepada Wanita.
Mengakui individu yang mengidap penyakit sukar untuk meneruskan cabaran dalam industri hiburan, jelas Naz, realiti cukup menyakitkan kerana sakit membawa impak negatif kepada tawaran bekerja.
“Itu antara sebab kenapa bila kita uar-uarkan masalah kesihatan, ia akan membawa impak yang negatif kepada pekerja industri. Apabila saya terbaca kisah arwah abang Ridzuan Hashim sembunyikan penyakit, saya memang sedih. Minta maaf sangat namun itulah realitinya. Kita bukan Hollywood, kadang-kadang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Dan ada segelintir penerbit yang mendengar ada artis sedang sakit, mereka yang baik dan bertanggungjawab akan bertanya sama ada masih boleh bekerja atau tidak kerana mereka faham, bila sakit kita akan tertekan. Kalau di tanya, saya yakin 80 peratus artis di Malaysia tiada insuran. EPF dan Socso? Lagilah tiada.
“Jadi bila kita jatuh sakit, kita sangat perlukan duit. Dan bila kita uar-uarkan, mereka akan risau kita tidak mampu dan tinggalkan kerja separuh jalan. Itu apa yang bermain di fikiran saya.
“Sebagai seorang pekerja industri dan sudah 24 tahun dalam bidang ini, kalau nak marah dan kata janganlah sembunyikan penyakit, minta maaf, anda tak lalui apa yang kami lalui.
“Dan kalau boleh saya juga tak mahu uar-uarkan saya sakit namun kerana orang suka membawa mulut, jadi saya kena ke depan dan terangkan perkara sebenar supaya fitnah tidak terus berleluasa. Namun untuk kata jangan sembunyi, selagi perlu untuk dirahsiakan untuk kelangsungan hidup, saya akan rahsiakan. Dan saya faham sangat keadaan arwah abang Ridzuan Hashim, dia memang tidak mahu menyusahkan orang. Jadi doakan kami agar terus tabah dan sembuh,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial Naz Rahman didakwa kurus kerana sedang sakit, malah ada yang mendakwa dia mengambil bahan terlarang sehingga memberi kesan kepada tubuh badannya. Jelas Naz, keadaan ini menyebabkan kerjayanya sedikit terjejas sehingga dia terpaksa tampil menjelaskan keadaan sebenar.