PADA 10 Julai 1981, Ken Rex McElroy memandu truk pikapnya ke pekan dan singgah minum di sebuah bar. Turut sama isterinya, Trena. Pasangan suami isteri itu bertembung dengan sekumpulan penduduk Skidmore, sebuah pekan kecil di Missouri, Amerika Syarikat.
Selesai minum, Ken dan isterinya keluar dari bar dan berjalan ke truk mereka. Masuk ke dalam truk, dia menghidupkan enjin kereta. Sebelum memandu, Ken mengeluarkan sebatang rokok. Namun, belum sempat dia menyalakan api, tiba-tiba…. dumm! dumm!
Kedengaran bunyi tembakan bertalu-talu. Dua butir peluru tepat mengenai kepala dan leher Ken menyebabkan lelaki itu terkulai layu di tempat duduknya bermandi darah.
Trena yang ketakutan berlari keluar dari truk dan menjerit meminta bantuan. Tapi, tiada siapa yang mengendahkannya. Tiada seorang pun yang ada di ada di situ menelefon ambulans. Tiada sesiapa yang mendekati untuk membantu, jauh sekali melihat keadaan Ken.
Sebaliknya, selepas habis bunyi tembakan itu, para penduduk yang melihat kejadian tersebut terus berlalu meninggalkan kawasan tersebut. Mengapa?

Lelaki Yang Dibenci
Penduduk di Skidmore menganggap Ken Rex McElroy sebagai ‘syaitan’. Lelaki itu amat dibenci ramai orang. Ada sebab mengapa mereka begitu. Sejarah hidup Ken menunjukkan dia bukan budak yang baik sejak zaman sekolah. Lelaki itu membesar sebagai pembuli dan banyak terlibat dalam pergaduhan sejak di zaman sekolah.
Menyerang, samun, merogol, mencabul, membakar dan merosakkan harta benda penduduk atau kepunyaan awam adalah perkara biasa yang sering dilakukan Ken. Apa yang dia mahu akan diambil sesuka hatinya tidak kira barang kepunyaan sesiapa pun.
Ken tiada kerja tetap. Pun begitu, wang bukan masalah padanya. Perbuatan jenayahnya membolehkan dia hidup senang dan mampu mengupah peguam untuk mengendalikan kesnya.

Ken juga kaki perempuan dan mempunyai lebih 10 orang anak hasil hubungan dengan beberapa orang wanita. Isteri terakhirnya, Trena baru berusia 12 tahun sewaktu mereka mula menjalin hubungan. Pada usia 14 tahun, Trena hamil dan berhenti sekolah.
Selepas melahirkan anak hasil hubungan dengan Ken, Trena melarikan diri ke rumah ibu bapanya. Ia menyebabkan Ken mengamuk sehingga mengugut ibu bapa Trena. Malah, Ken juga telah menembak anjing keluarga itu dan membakar rumah mereka semasa kedua-dua ibu bapa Trena tiada di rumah.
Kegilaan Ken akhirnya membuatkan mereka terpaksa membenarkan Ken mengahwini Trena. Untuk tujuan itu, Ken menceraikan isteri ketiganya waktu itu bernama Alice untuk berkahwin dengan Trena bagi mengelakkan dakwaan rogol kerana Trena masih di bawah umur.

Sepanjang lebih 30 tahun bermaharajalela, terlalu banyak jenayah dilakukan Ken. Dia pernah didakwa sebanyak 21 kali, namun tiada satu pun mampu membuatnya merengkok dalam penjara. Ken selalunya akan mengancam saksi-saksi yang terlibat supaya tidak memberi keterangan di mahkamah. Kerana takut, tiada siapa berani muncul sebagai saksi.
Pada tahun 1980, berlaku satu insiden yang mencetuskan kemarahan penduduk Skidmore. Salah seorang anak Ken ketika itu cuba mencuri gula-gula di sebuah kedai runcit kepunyaan pasangan suami isteri tua, Bowenkamp.
Berlaku pertelingkahan antara isteri Ken, Trena dan Lois Bowenkamp. Pun begitu, Lois cuba berlembut dan tidak mahu memanjangkan insiden itu. Tetapi apabila cerita itu sampai ke pengetahuan Ken, ia membangkitkan kemarahannya.
Ken mengeluarkan kata-kata kesat kepada pasangan Bowenkamp dan melepaskan tembakan ke udara. Beberapa hari kemudian, dia mendekati suami Lois bernama Ernest Bowenkamp, seorang lelaki berusia 70 tahun yang dikenali di kalangan penduduk sebagai lelaki yang mesra dan baik hati. Ken tiba-tiba datang ke arahnya, mengeluarkan senapang lalu menembak leher lelaki tua itu. Mujurlah Ernest selamat dalam insiden itu walaupun mengalami kecederaan parah.

Kejadian itu telah membangkitkan amarah penduduk Skidmore. Pendakwaan dilakukan terhadap Ken atas tuduhan cubaan membunuh, namun Ken dilepaskan dengan ikat jamin.
Pada hari dia dibebaskan, Ken singgah minum di sebuah bar di pekan dengan membawa senapang. Sambil minum, dengan berlagak dia memberitahu dia boleh melakukan apa saja pada pasangan Bowenkamp. Kata-kata berupa ancaman itu membuat penduduk kian gusar dan cuba mencari jalan agar mereka tidak diganggu atau dicederakan oleh Ken.
Ketakutan Penduduk Berakhir
Akhirnya pada Julai 1981, ketakutan penduduk Skidmore lenyap apabila Ken didapati tidak lagi bernyawa setelah truknya ditembak bertalu-talu.
Tiada seorang pun yang menyaksikan kejadian itu membantu, sebaliknya hanya memerhati dan berlalu pergi.
Apabila polis tiba di tempat kejadian dan melakukan pemeriksaan, Ken sudah mati. Truk pikapnya dipenuhi kesan tembakan. Dua butir peluru yang mengenainya datang dari dua pucuk pistol yang berbeza.


Sewaktu kejadian, ada lebih 60 orang penduduk yang menyaksikan kejadian tersebut. Tetapi tiada seorang pun yang mahu membuka mulut, jauh sekali tampil untuk membantu siasatan.
Teorinya, pelaku adalah daripada kalangan penduduk yang berkomplot untuk menghapuskan Ken yang kebal daripada undang-undang. Namun tidak seorang pun penduduk Skidmore yang mahu tampil untuk menjadi saksi, memberi keterangan atau sebarang petunjuk atas pembunuhan Ken. Kesemua mereka sebulat suara mengunci mulut.
Beberapa orang yang dipanggil untuk soal siasat memberi kenyataan sama, mereka tidak tahu siapa yang menembak. Akhirnya, kes itu menemui jalan buntu.
Sehingga kini, siapa yang melepaskan tembakan ke arah Ken kekal misteri. Pekan Skidmore tetap mengunci mulut mereka. Apa yang pasti, penduduknya berasa ‘gembira’ dan boleh hidup tenang apabila lelaki yang dibenci itu akhirnya menemui ajal.


____________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram