PADA abad ke-15 di Itali, ada sebuah pasu yang dihasilkan dengan ukiran perak. Asal usul pasu ini kurang jelas, namun ia agak popular dikaitkan dengan legenda sumpahan oleh masyarakat di sana.
Ia dikenali sebagai pasu Basano. Kononnya, pasu perak ini dihasilkan untuk dijadikan hadiah perkahwinan buat seorang gadis di sebuah perkampungan di Napoli dalam daerah Campania di Itali.
Namun, apa yang menjadikan pasu itu menyimpan misterinya tersendiri ialah pengantin perempuan tersebut meninggal dunia pada malam perkahwinannya dalam keadaan memeluk pasu tersebut. Kononnya sebelum meninggal dunia, pengantin perempuan sempat memberitahu bahawa dia akan kembali semula untuk membalas dendam.

Sejak kematiannya, pasu tersebut disimpan oleh keluarganya. Pada mulanya, tiada sesiapa mengesyaki kelainan pada pasu tersebut. Tetapi, apabila pasu itu diperturunkan kepada waris-waris terdekat, kematian demi kematian mula berlaku. Ada saja pewaris pasu itu akan meninggal dunia. Lebih aneh, punca kematian mereka misteri dan tidak dapat dikenal pasti.
Hal tersebut membuatkan mereka yakin pasu tersebut berisi sumpahan yang membawa kematian. Oleh sebab itu, ahli keluarga pengantin perempuan membuat keputusan menyembunyikan pasu Basano dengan menanamnya di sebuah kawasan rahsia. Sejak itu, kisah kematian misteri angkara pasu itu lenyap.
Pun begitu, dikatakan pasu tersebut secara tidak sengaja dijumpai semula pada tahun 1988, kira-kira 400 tahun kemudian. Pada pasu itu juga dijumpai nota yang tertulis – “Hati-hati! Pasu ini membawa kematian bersamanya!”
Malangnya, kertas amaran itu dibuang dan pasu itu dijual di sebuah pusat lelongan dengan harga empat million Lera kepada seorang ahli farmasi. Sumpahan bermula semula apabila ahli farmasi tersebut meninggal dunia tiga bulan kemudian.

Pasu Basano dijual pula kepada seorang doktor pakar bedah yang tidak percaya kepada perkara tahyul sebegini. Pun sama, dia meninggal dunia dua bulan kemudian pada usia 37 tahun.
Pasu tersebut kemudian dijual kepada seorang ahli arkeologi sebagai koleksi peribadinya yang tertarik dengan keindahan corak pasu tersebut. Namun, ahli arkeologi itu meninggal dunia kerana jangkitan yang tidak diketahui.
Keluarganya cuba menjual pasu Basano itu. Mereka tidak berjaya mendapat lima million Lera yang telah dilaburkan kerana khabar angin tentang sumpahan pasu itu sudah mula tersebar. Walau bagaimanapun, pasu tersebut berpindah milik lagi.
Kali ini, pemiliknya meninggal dunia dalam tempoh satu bulan sahaja. Sejak itu, seluruh bandar mula mempercayai sumpahan tersebut. Keluarga pemilik itu juga tidak mahu lagi menerima Basano di rumah mereka dan membuangnya ke luar tingkap.
Pasu itu tercampak hampir mengenai kepala seorang polis. Polis tersebut memulangkan pasu itu kepada mereka disertai amaran akan mengenakan saman kerana berkelakuan tidak elok membaling barang yang hampir mendatangkan kecederaan.
Ahli keluarga itu sanggup menerima saman polis tersebut, tetapi enggan mengambil pasu itu semula, bahkan mereka rela masuk penjara daripada menyimpan semula pasu itu.
Polis tersebut cuba menyerahkan pasu itu kepada beberapa buah muzium, namun semua enggan menerimanya kerana kisah sumpahan tersebut. Dikatakan polis itu akhirnya menanam pasu Basano di sebuah lokasi rahsia agar tiada siapa lagi menemuinya dan tidak tiada lagi mangsa terpalit dengan sumpahan tersebut.
Ada yang mengatakan polis itu memasukkan pasu itu dalam keranda dan menanamnya di kawasan perkuburan lama dengan harapan, tiada siapa lagi akan menemui pasu Basano!

_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram