Diserang guna asid, apa yang perlu dilakukan? Jenayah secara rambang dan balas dendam

Dari Penulis

Definisi Asid dan Alkali

Serangan seumpama ini boleh berlaku menggunakan bahan asid atau alkali. Kekuatan asid dan alkali ditentukan oleh skala pH (potential of hydrogen) yang berjulat antara 1 hingga 14.

Asid diklasifikasikan sebagai bahan yang mempunyai nilai pH kurang daripada 7, manakala alkali mempunyai nilai pH lebih dari 7. Mana-mana bahan yang mempunyai nilai pH 7 adalah neutral.

Asid sulfurik, asid nitrik dan alkali sodium / kalsium hipoklorit adalah antara bahan kimia yang mudah diperolehi kerana digunakan secara meluas dalam sektor perindustrian di Malaysia.

Sebagai contoh, asid sulfurik merupakan bahan kimia utama untuk membuat baja, detergen, cat dan bateri. Asid nitrik digunakan dalam pembuatan pewarna dan pewangi. Manakala sodium / kalsium hipoklorit wujud dalam kuantiti yang tinggi dalam bahan peluntur dan larutan berklorin.

Kedua-dua asid dan alkali yang kuat bersifat mengakis dan boleh memudaratkan kesihatan sekiranya tidak dirawat dengan segera. Ia boleh membutakan mata, melecurkan kulit dan mematikan tisu-tisu sel sehingga meninggalkan kesan kecacatan kekal yang serius kepada mangsa.

Sekiranya tertelan, ia boleh merosakkan saluran trakea dan menyebabkan kesesakan nafas.

Motif Serangan

Kesihatan mental – pemikiran dan akal yang tidak waras atau melakukannya untuk keseronokan semasa berada di bawah pengaruh dadah yang berlebihan. Motif ini dikenal pasti sebagai faktor utama penyerang melakukan serangan secara rambang ke atas orang yang tidak dikenali.

Dendam atau cemburu – perasaan tidak puas hati terhadap seseorang. Ingin melihat ‘musuh’ mereka merana dan sengsara seumur hidup.

Impak Kepada Mangsa

Serangan asid mungkin tidak akan membunuh tetapi ia akan memberi implikasi negatif kepada hidup dan masa hadapan mangsa. Atas sebab kecacatan fizikal yang ketara, kebanyakan mangsa akan berubah menjadi seorang yang lebih gemar mengasingkan diri dan kurang bergaul dengan masyarakat.

Tanpa azam dan sokongan moral yang kuat daripada masyarakat, perubahan personality ini boleh memberi tekanan emosi yang serius kepada mangsa serta ahli keluarga dan pasangan hidup mangsa.

Rawatan Kecemasan

Sekiranya asid / alkali terkena kulit atau mata, tindakan pertama yang perlu diambil ialah membasuh tempat yang terkena asid / alkali dengan air yang banyak. Tanggalkan pakaian mangsa yang terkena bahan kimia tersebut dan sebaiknya biarkan mangsa berada di bawah aliran air selama 15 hingga 30 minit. Jangan cuba sapu dan lap bahagian yang terkena bahan kimia dengan kain atau sebarang minyak.

Sekiranya tertelan, ludahkannya dengan segera. Jangan cuba muntahkan kerana ia hanya akan menyebabkan bahan kimia merebak sehingga ke bahagian paru-paru dan menyebabkan komplikasi pernafasan yang lebih teruk. Minum air atau susu yang banyak untuk melarutkan bahan kimia tersebut.

Tindakan & Langkah Berjaga-Jaga

Orang awam wajar mengelakkan diri dari berada di tempat-tempat yang berisiko tinggi tanpa tujuan atau teman. Sentiasa bawa bekalan air kosong atau mineral bersama untuk digunakan sebagai rawatan kecemasan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Bahan kimia berkonsentrasi tinggi wajar dikategorikan sebagai barang terkawal dan hanya boleh dijual oleh pembekal yang berdaftar kepada pelanggan yang sahih sahaja. Pembekal perlu merekodkan butir-butir peribadi pelanggan serta tujuan penggunaan bagi setiap transaksi.

Maklumat ini kemudiannya boleh digunakan sebagai rujukan pihak berkuat kuasa untuk mengenal pasti suspek di kawasan tersebut sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Pengusaha kilang juga perlu menyelia dan memantau akses bahan di premis kepada pekerja-pekerja yang berkenaan sahaja. Pihak berkuasa perlu mengenakan hukuman yang lebih berat kepada penyerang, setimpal dengan penderitaan yang dialami oleh mangsa.

Menurut undang-undang yang sedia ada, kes yang melibatkan serangan atau mencederakan mana-mana individu boleh didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tempoh hukuman ini wajar dipanjangkan kelima atau 10 tahun bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh mangsa.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Hafazan Itqan 2026: Rekod 1,958 Peserta Bukti Anak Muda Makin Dekati Al-Quran

PENGANJURAN 18th Itqan National Quranic Memorisation Competition mencatatkan pencapaian luar biasa apabila berjaya menarik penyertaan seramai 1,958 peserta dari...

More Articles Like This