PINDAAN terhadap Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 akan dibentang di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pindaan kepada RUU 355 itu akan dibawa bersama cadangan akta baharu iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
Menurut beliau, cadangan penggubalan akta baharu itu dengan tujuan memperkasa mahkamah syariah.
“Kedua-dua RUU tersebut akan dibentangkan di Parlimen bagi memastikan hasrat untuk pemerkasaan mahkamah syariah dapat direalisasikan setelah mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.
“Penggubalan RUU Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) itu akan mengambil kira peruntukan berhubung bidang kuasa jenayah mahkamah syariah yang dicadangkan dalam pindaan kepada RUU 355,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat.
Mohd Na’im menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan terhadap agenda pembentangan RUU 355 untuk dibahaskan di Parlimen dan jangka masa sasaran untuk pelaksanaan serta penguatkuasaan RUU terbabit.
Baca artikel berkaitan: KKM sedia bentang RUU kawal produk rokok di Parlimen, demi lindungi kesihatan generasi muda
Sebelum ini, kerajaan memberi jaminan akan terus memperkukuh RUU 355 untuk kemaslahatan umat Islam.
Mohd Na’im berkata, akta tersebut sepatutnya sudah dibentangkan untuk pindaan pada persidangan hujung Oktober lalu namun terbantut susulan pembubaran Parlimen.
Pada 19 Oktober tahun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, RUU 355 tidak sempat dibentangkan kerana pembubaran Parlimen disebabkan Pilihan Raya Umum-15.
Pas merupakan parti yang memperjuangkan RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.
Aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah meliputi pelbagai aspek yang penting seperti meningkatkan tahap kompetensi hakim syarie, pendakwa syarie dan pegawai penguat kuasa agama.
Ia juga termasuk penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada dan penyeragaman serta penyelarasan undang-undang syariah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

