KERAJAAN sedang mempergiat usaha untuk mendraf Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan Majlis Raja-Raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355 sepanjang tahun 2020 dan 2021.
Kata beliau, mesyuarat itu melihat daripada pelbagai aspek khususnya aspek Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU tersebut lebih komprehensif.
Menurut Ismail Sabri, ia juga seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.
“Setelah RUU 355 dimuktamadkan kelak, RUU 355 tersebut akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman web Parlimen Malaysia.
Beliau menjawab soalan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan strategik bagi memperkasa Mahkamah Syariah menerusi pindaan Akta 355 bagi tahun 2021.
Baca artikel berkaitan: Undang-undang syariah akan dipertahan dan diperkasakan
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah juga meliputi pelbagai aspek yang penting termasuk meningkatkan tahap kompentensi Hakim Syarie, Pendakwa Syarie dan Pegawai Penguat Kuasa Agama.
Selain itu, kata beliau, penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah; penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada serta penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah menjadi aspek untuk diperkasakan.
“Kerajaan sentiasa mengambil langkah untuk memperkasa dan menaikkan kedudukan Mahkamah Syariah agar setanding dengan mahkamah sivil.
“Antara langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf mahkamah syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa ialah dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022 (RUU Mahkamah),” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

