Kuih cara bikang merupakan kuih yang sangat enak, sangat popular di Indonesia. Ia dinamakan cara bikang kerana ia dimasak menggunakan acuan kuih cara dan ia dimasak tanpa ditutup.
Bikang sama seperti negara kita (bengkang dan bingka). Biasanya orang Indonesia menyebutnya `bika’.
Kuih ini mempunyai tekstur seperti kuih bingka Ambon sama seperti sarang semut. Tetapi sarangnya lebih banyak.
Cara bikang ini disediakan dengan berbagai-bagai warna, ada yang menggunakan perisa pandan dan ada yang diwarna-warnikan. Cara bikang lebih enak, dimasak menggunakan dapur arang. Aroma kuih, jauh lebih sedap berbanding jika menggunakan dapur gas. Jika anda masak menggunakan ketuhar, hanya api bawah sahaja yang perlu digunakan. Ini resipi, selamat mencuba!
BAHAN-BAHAN
350 gm tepung beras
2 sudu besar tepung gandum
900 ml santan
125 gm gula pasir
½ sudu kecil garam
Sedikit pewarna hujau
Sedikit minyak untuk sapuan
100 ml santan pekat-masak sehingga pekat
CARA PENYEDIAAN
- Ambil 200 ml santan dan campurkan dua sudu besar tepung beras dan kacau rata.
- Tenggekkan di atas dapur arang dan kacau sehingga mendidih. Kemudian ketepikan.
- Tuangkan dalam besen besar dan masukkan garam, gula, tepung gandum dan lebihan tepung beras.
- Uli dengan rata sambil dituangkan santan (400 ml) sedikit demi sedikit selama setengah jam.
- Setelah setengah jam tuangkan kesemua santan dan kacau lagi sehingga rata.
- Rehatkan selama sejam.
- Letakkan sedikit pewarna hijau, sebatikan adunan.
- Panaskan acuan cara besar dan sapukan sedikiit minyak. Tuangkan sedikit adunan hijau.
- Kuih ini akan mengembang, setelah masak cungkil bahagian bawah dan angkat.
- Sapukan bahagian atasnya dengan santan pekat yang dimasak terlebih dahulu.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

