MALAYSIA berada di kedudukan ke 73 dengan 62.83 mata dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2023 yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu amat membanggakan memandangkan Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak 40 kedudukan berbanding 2022.
Jelas Fahmi, Malaysia turut berada pada kedudukan tertinggi antara negara ASEAN.
“Alhamdulillah, ini merupakan pencapaian yang luar jangkaan yang amat baik, positif dan membanggakan buat negara dan kerajaan.
“Perkara ini juga sekali gus menjadi pemangkin untuk kerajaan terus memartabatkan kebebasan media di Malaysia, selain menjadi bukti komitmen kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjamin kebebasan media bagi para pengamal media di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2023) yang berlangsung di Meru, hari ini.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri KKD, Teo Ni Ching dan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tuan Yang Terutama Hermono.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, semua pihak perlu terus memberi sokongan terhadap usaha untuk meningkatkan kebebasan media di Malaysia, dan untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh media di negara ini.
Katanya, ia mungkin melibatkan pembaharuan undang-undang dan kawal selia selanjutnya, serta usaha untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor media.
Beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga sedang giat ke arah merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia.
“Namun begitu, suka juga untuk saya ingatkan, kebebasan media bukanlah tiket ataupun lesen untuk menyebarkan maklumat atau berita berunsur fitnah atau tanpa sumber yang sah yang dikhuatiri boleh mengganggu gugat keamanan serta kesejahteraan rakyat dan negara.
“Kebebasan media harus dipraktikkan sewajarnya terutama dalam membantu mewujudkan satu bentuk minda keselamatan kepada masyarakat. Ini adalah penting bagi memastikan negara kita terhindar daripada isu-isu berhubung dengan sensitiviti perkauman, keselamatan, agama, sabotaj ekonomi dan sebagainya,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

