
BERAPA banyak kereta berharga rendah atau sederhana yang dapat dibeli dengan wang RM950,000? Jika kereta berharga RM50 bererti 18 biji kereta boleh dibeli. Jika harganya RM100,000 bermakna 10 buah kereta boleh diborong. Jika berharga RM300,000, tiga buah boleh dibeli.
Tetapi orang sanggup berbelanja sehingga RM950 ribu bukan untuk membeli sebuah atau beberapa buah kereta. Wang besar itu hanyalah semata-mata sebagai bayaran membida nombor pendaftaran kereta.
Tidak diketahui samaada harga kereta yang bakal didaftar dengan nombor istimewa itu sama nilai, lebih mahal atau lebih murah daripada harga bidaan. Yang penting pembida mahu nombor tersebut tanpa peduli harga yang perlu dibayar atau pada kereta mana akan dipasang.
Menurut laporan, bidaan terbaharu yang mendapat sambutan luar dugaan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit ini ialah bagi plat ‘FF’. Plat bermula ‘F’ ialah plat bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Bidaan plat ‘FF’ ini mencipta rekod paling tinggi dalam sejarah kerana mengumpul jumlah keseluruhan bidaan sebanyak RM34.3 juta. Bidaan tertinggi ialah untuk nombor plat ‘FF 8’ dengan harga RM950,000.
Bidaan bagi siri ‘FF’ yang dibuka dari 14 hingga 19 Mei lepas menarik penyertaan 34,032 pembida melalui sistem JPJeBid. Memetik Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, daripada jumlah keseluruhan pembida, sejumlah 8,348 berjaya mendapat nombor plat siri berkenaan.
Menurut beliau, selain bidaan tertinggi untuk plat ‘FF 8’, bidaan tinggi lain yang dicatatkan ialah bagi plat ‘FF 9’ dengan harga RM911,999, ‘FF 3’ dengan harga RM639,000 dan ‘FF 2’ yang mendapat bidaan RM638,000.
Daripada segi pecahan nombor pendaftaran, yang paling banyak mendapat bidaan ialah ‘FF 199’ dengan jumlah 34 pembida, diikuti ‘FF 51’ dengan 32 pembida. Seterusnya ialah ‘FF 155’, ‘FF 555’ dan ‘FF 1688’ yang masing-masing dibida oleh 29 orang.
Sejak aplikasi dalam talian JPJeBid dilancarkan pada 15 April 2019, jumlah pembida dan pemenang bagi siri ‘FF’ merekodkan penyertaan tertinggi. Sambutan pembida begitu memberangsangkan sehingga sistem berkenaan itu tergendala, menyebabkan bidaan dilanjutkan 24 jam.

Sebelum ini April lalu, nombor pendaftaran ‘AMY 1’ yang dikeluarkan oleh JPJ Perak dibida sebanyak RM400,000. Bagi yang bernama Amy, atau kekasih bernama Amy, atau sesiapa juga dalam keluarga bernama Amy, nombor ini pasti menjadi pilihan. Harga mahal bukan masalah.
Angka ini mengatasi bidaan nombor plat siri ‘AKU’ seperti ‘AKU 1’ yang dibida pada harga RM207,898.90 dan ‘AKU 8055’ yang dibida pada harga RM74,000. Nombor pendaftaran ini dikeluarkan pada Ogos 2017.
Bagi nombor pendaftaran ‘AMY 2’ hingga ‘AMY 9’ juga mendapat bidaan tinggi, melebihi RM80,000 setiap satu. JPJ Perak berjaya mengutip hasil bidaan sebanyak RM6 juta bagi siri pendaftaran ‘AMY’ yang berakhir 13 April.
Begitulah kegilaan orang ramai membida nombor pendaftaran sekarang. Wang bukan isu asal dapat nombor dikehendaki. Ratusan ribu ringgit mungkin kecil bagi yang mampu. Yang lain melopong menyaksikan wang yang begitu banyak dibelanjakan hanya untuk ‘membeli nombor’.
Dulu-dulu yang penulis ingat jika ingin menempah nombor pendaftaran kenderaan, bayaran dikenakan dalam lingkungan RM300 sahaja. Atau jika nombor yang dianggap istimewa mungkin lebih mahal sedikit, tetapi tidaklah sampai ratusan ribu.
Begitu juga dahulu jika ingin menempah nombor, pergi sahaja ke mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pilih nombor, bayar tempahan dan nombor siap didaftar. Setelah itu sah nombor tersebut milik individu yang menempah.
Kini semua dilakukan secara dalam talian, atau online. Bidaan dijalankan secara maya di hujung jari. Nombor tertentu boleh dibida oleh yang meminatinya, masing-masing berlawan harga. Sehinggalah sampai peringkat di mana tiada lagi pencabar, maka pembida terakhir terpilih sebagai pemenang.
Di samping itu, pendaftaran kenderaan secara bersilang antara negeri kini dibenarkan. Penduduk negeri tertentu boleh memohon nombor pendaftaran milik negeri lain, semua melalui pejabat JPJ berhampiran tanpa perlu pergi ke JPJ negeri berkenaan.
Penduduk Perak misalnya boleh memilih untuk mendaftar kenderaan dengan pendaftaran negeri Selangor. Peduduk Wilayah Persekutuan pula boleh mendaftar kenderaan di Perlis, Kedah atau Pulau Pinang dan Kelantan. Begitulah seterusnya. Ini belum termasuk nombor pendaftaran khas seperti Patriot, Malaysia, U, UTM, UTHM, SUKOM dan lain-lain.
Kerana itu, proses bida membida menjadi semakin meluas dan mahal. Pembida terpaksa bersaing bukan sahaja dengan pembida dari negeri asal, tetapi juga dari negeri-negeri lain yang berebut nombor sama.
Mungkin kerana itu didapati pendaftaran kenderaan bagi negeri tertentu begitu cepat, terutama negeri kecil. Misalnya Perlis satu ketika dahulu pergerakan pendatarannya begitu perlahan. Untuk bergerak dari R kepada RA sangat lambat. Tetapi kini Perlis sudah tiga huruf!
Yang pasti, proses bidaan yang mencecah sehingga ratusan ribu ringgit adalah rahmat bagi JPJ. Ia menjadi satu bisnes lumayan yang menguntungkan jabatan itu. Jabatan tidak perlu bersusah payah menjual atau mempromosi, sebaliknya pembida yang datang mengisi kantung JPJ.
Yang terkesan ialah mereka yang kurang sumber kewangan tetapi ingin pilihan nombor yang menarik. Sayangnya semuanya sudah diborong oleh pembida kaya. Yang tinggal hanyalah ‘running numbers’ atau nombor bergerak yang tidak dipilih pembida. Mahu tidak mahu, itulah sahaja pilihan yang tinggal!

