SEORANG lelaki warga asing dipercayai gelandangan ditahan selepas disyaki membaling seketul bata sehingga merosakkan sebuah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd Din memaklumkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.57 malam di hadapan Hotel Kingston, Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, suspek kemudiannya berjaya ditahan dengan bantuan orang awam di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai gelandangan berusia lingkungan 40-an itu disyaki mengalami masalah kesihatan.
“Suspek telah membaling suatu objek iaitu seketul bata ke kenderaan milik PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek telah direman selama tiga hari sehingga esok.
Siasatan lanjtu masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

