SEORANG jurugambar ditahan selepas dipercayai melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki Tahun Tiga di sebuah sekolah dekat Bandar Baru Salak Tinggi pada 12 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pengadu yang merupakan ayah mangsa telah membuat laporan polis mendakwa anaknya telah dicabul ketika acara “petting zoo” di sekolah terbabit.
Beliau berkata, mangsa berusia sembilan tahun itu telah ke bilik sains untuk menyertai acara tersebut sempena Bulan Panitia Sains.
Katanya, mangsa telah membayar wang sebanyak RM5 kepada suspek sebagai bayaran untuk mengambil gambar.
“Suspek telah berdiri di sisi sebelah kiri mangsa sebelum memeluk mangsa dari belakang.
“Suspek kemudian menyentuh kemaluan mangsa dari luar seluar dan mangsa telah cuba menepis tangan suspek. Suspek bagaimanapun masih terus menyentuh kemaluan mangsa.
“Suspek telah mengarahkan mangsa bergerak ke belakang dan sekali lagi menyentuh kemaluan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, ketika kejadian suspek berpakaian baju, seluar panjang, pelitup muka dan topi berwarna hitam.
Menurutnya, mangsa mendedahkan bahawa suspek turut memegang kemaluan murid lain dan kesemua yang terlibat telah dipanggil bagi merakam percakapan.
Wan Kamarul Azran berkata, pada pukul 2.30 petang, 23 Mei lalu telah berlaku perjumpaan antara pihak sekolah, penjaga dan dua jurugambar yang bertugas pada hari kejadian.
“Salah seorang jurugambar telah mengaku melakukan perbuatan tersebut dan pihak sekolah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan kedua-dua jurugambar masuk ke kawasan sekolah,” ujarnya.
Bagaimanapun, bapa mangsa tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh pihak sekolah.
Jelas Wan Kamarul Azran, suspek yang merupakan seorang lelaki Melayu berusia 39 tahun telah ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Daerah Sepang pada pukul 1.30 petang, Jumaat lalu.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan suspek tidak mengaku memegang kemaluan kanak-kanak tersebut,” katanya.
Katanya, suspek ditahan reman sehingga Khamis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

