Wabak LGBT : “Sifat semulajadi, bukan dibuat-buat,” – Zek reda putus cinta. Kekasih ambil keputusan berkahwin

Dari Penulis

Ketika Zek sudi berkongsi kisah ini, hubungan sebagai ‘kekasih’ dengan pasangannya, baru saja diputuskan. Alasannya sangat kukuh dan memang satu reality kehidupan iaitu pasangan yang dikenali sebagai ‘Baby’ akan melangsungkan perkahwinan.

Memang fitrah manusia hidup berpasangan yang mana akhirnya akan melahirkan zuriat yang bakal menjadi penyeri dalam rumah tangga. Wujudnya Adam dan Hawa, bukti wujudnya perasaan kasih dan sayang antara jantina yang berlainan sebagai permulaan kewujudan manusia di muka bumi ini.

Namun dalam masyarakat kita, ada segelintir manusia yang cenderung memilih jantina yang sama untuk mereka menzahirkan dan meluahkan perasaan kasih dan sayang.

Bukan mereka tidak sedar bahawa cinta songsang ini salah dari segi hukum agama dan fitrah manusia namun pelbagai faktor yang menyebabkan mereka cenderung memilih jalan yang salah ini. Salah satunya adalah didikan keluarga mereka sendiri yang sejak kecil pergaulan mereka dikelilingi oleh lelaki.

Ini diakui sendiri oleh Zek yang berusia dalam lingkungan 30-an. Katanya lebih 10 tahun dia berpasangan daripada insan yang sama jantina dengannya. Bezanya perwatakan Zek tidak seperti wanita yang normal yang lain. Dia agak lasak, aktif, minat dengan sukan seperti bola sepak, tenis, berambut pendek serta lebih selesa dengan baju-T, kemeja dan seluar.

“Saya mempunyai tujuh orang adik beradik dan saya merupakan anak yang keenam. Ini bermakna yang di atas saya adalah abang seramai lima orang.

“Sebelum mendapat adik lelaki (yang bongsu), sayalah yang dikatakan anak manja dalam keluarga, namun manja di sini bukan seperti manja anak perempuan yang lain. Pergaulan dan layanan terhadap saya lebih kepada budak-budak lelaki.

“Saya terikut-ikut dengan cara abang-abang bergaul, bermain bola, pergi memancing dan sebagainya. Semua persekitaran ini menjadikan saya lebih lasak dan aktif. Sewaktu di sekolah pula, saya lebih selesa berkawan dengan pelajar lelaki dan mereka juga melayan saya seperti mana  mereka melayan kawan lelaki yang lain.

“Mak dan ayah juga seakan-akan memahami sikap saya seperti ini. Sikap ini bukan sengaja dibuat-buat, ia terbentuk sejak saya kecil kerana lingkungan kehidupan saya yang lebih banyak bergaul dengan orang lelaki terutamanya dalam keluarga saya sendiri. Namun ini tidak bermakna saya menyalahkan mereka,” akui Zek.

Ramai Berminat Jadikan Adik Angkat

Menurut Zek lagi, kisah cintanya bermula sewaktu dia melanjutkan pelajaran di institute pengajian tinggi (IPT). Katanya ramai yang ingin menjadikan dia sebagai adik angkat hinggakan ada antara senior yang bergaduh dek kerana berebutkan Zek.

“Saya sendiri hairan kenapa mereka sanggup bergaduh demi saya. Waktu belajar dulu saya seorang yang aktif dalam sukan seperti mana zaman persekolahan saya dulu. Saya gemar memakai jean dan baju-T serta sneakers.

“Semuanya berlaku secara tiba-tiba dan saya sendiri tidak tahu macam mana perasaan ini boleh wujud dalam diri saya. Mungkin disebabkan saya tidak pernah mendapat kasih sayang seorang kakak kerana dalam keluarga saya majoritinya kaum lelaki. Pada mulanya saya rasa pelik kenapa saya diberi perhatian sebegitu oleh teman-teman saya terutamanya senior.

“Saya tinggal di asrama dan dalam satu bilik kami ditempatkan empat orang pelajar. Semuanya bermula sewaktu saya sakit (gastrik), salah seorang teman sebilik setia menemani dan menjaga saya. Saya tidak pernah mendapat layanan sebegitu selama ini. Saya rasa selesa kerana ada orang yang memberi perhatian, menjaga makan minum saya, ambil berat mengenai kesihatan dan sebagainya.

“Saya ikut dan terima apa saja yang berlaku ke atas diri saya. Lama-kelamaan ia berlaku dengan sendirinya. Saya ‘hanyut’ dalam dunia saya sendiri,” katanya.

Terima Realiti Hidup Tidak Selamanya Begini

Mengaku sebagai seorang yang setia pada pasangannya, Zek selesa dan gembira dengan cara hidupnya yang sebegitu. Mereka tinggal sebumbung, saling menjaga, memberi perhatian dan mengambil berat antara satu sama lain.

Sebenarnya hubungan yang terjalin antara Zek dan pasangannya diketahui oleh kedua-dua ibu bapa Zek, malah mereka juga mengenali siapa pasangan Zek dan Zek sendiri mengenali keluarga pasanganya itu.

“Saya dan pasangan mempunyai kerjaya masing-masing dan komitmen yang tinggi terhadap tugas kami. Masing-masing sibuk dengan kerja, ada kalanya jarang berjumpa kerana urusan kerja di luar daerah. Justeru, kami akan mencari masa terluang, misalnya menghabiskan masa cuti bersama ke destinasi yang kami pilih.

“Apa pun saya sedar tidak selamanya dunia saya ini sebegini. Pada satu hari nanti realiti hidup perlu saya lalui dan hadapi. Saya sedar sampai masanya saya akan berubah dan mungkin mempunyai keluarga sendiri.

“Jadi apabila pasangan saya itu memberitahu yang dia akan berkahwin, saya mula sedar yang waktunya telah sampai untuk kami berpisah. Sedih tu memang la sedih kerana lebih 10 tahun kami bersama. Namun inilah yang dikatakan jodoh. Saya redha dengan keputusannya,” jelas Zek lagi.

Kini, Zek masih lagi meneruskan persahabatan dengan ‘pasangannya’ itu. Katanya dia tidak mahu memutuskan tali silaturahim yang sedia terjalin sebelum ini. Hakikat mereka tidak dapat bersama tetap diterima dengan tenang dan hati terbuka. Inilah lumrah hidup.

Mengakhiri perkongsian kisah hidupnya, Zek berkata perhubungannya dengan bekas pasangannya dahulu lebih kepada perkongsian masalah, sama-sama menyelesaikannya dan mengambil berat antara satu sama lain.

Apa pun tegas Zek tingkah laku serta keperibadiannya bukan dibuat-buat seperti mana sesetengah lagak pengkid yang lain yang seolah-olah sengaja dibuat-buat. Hinggakan ada yang bertindak kasar memukul pasangan masing-masing.

Bagi dirinya, dia kini selesa dengan status ‘single’, perasaan sunyi dapat ketepikan dengan adanya rakan-rakan lain. Zek lebih selesa berkawan dengan semua orang tanpa mengira status mahupun jantina. Namun dalam masa yang sama Zek semakin sedar akan status dirinya dan mengharapkan satu hari nanti dirinya mampu menjadi wanita sejati seperti mana yang dicari-cari selama ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Angkat Martabat Fiqh Madani, PU Riz Mahu Silibus Haji & Umrah Lahirkan Cendekiawan Islam Berwibawa

LANSKAP pendidikan Islam di Malaysia melakar satu lagi sejarah baharu menerusi pengenalan program akademik yang lebih holistik dan dinamik. Menyedari...

More Articles Like This