Bukan mudah untuk menerima hakikat diri seorang gay. Mungkin ada pendapat yang berkata, jangan terlalu menuding jari pada kaum gay kerana kita tidak mengerti apa yang mereka rasa sebenarnya.
Mereka pun tidak meminta itu terjadi dalam hidup mereka. Ada gay gembira menerima naluri tersebut, tidak kurang juga yang berduka menangisi apa yang sudah tertulis. Walaupun ada usaha untuk menepis daripada terus hanyut namun akhirnya tertewas juga. Di mana silapnya, hanya mereka yang lebih mengerti.
Ikuti kisah benar pengakuan seorang gay, Arjuna (bukan nama sebenar), 25 tahun. Berjaya menamatkan pengajian dan kini bekerja sebagai tutor di salah sebuah kolej swasta merupakan anak keempat daripada enam beradik yang lima daripadanya adalah lelaki.
Kepada WANITA, Arjuna menceritakan bagaimana dia akhirnya bahagia menjalani hidup sedemikian biarpun bagi orang lain ianya satu pengisahan yang terpesong jauh daripada kehidupan insan normal.
“Semasa di sekolah menengah dan tinggal di asrama, saya dan kawan-kawan suka mengusik sesama sendiri. Memandangkan kami semua pelajar lelaki, jadi usikan yang keterlaluan pada pandangan orang lain itu sudah dianggap perkara biasa bagi kami yang melaluinya setiap hari.
“Dari hari ke hari, kami semakin selesa di antara satu sama lain sehingga kami jadi seronok dengan apa yang kami lakukan sehingga tidak sedar ada kelakuan dan keinginan kami yang hampir terpesong daripada ajaran Islam,” luah Arjuna.
Bila usia menganjak 18 tahun, naluri untuk menyayangi seseorang semakin membara. Cuma silapnya, perasaan sayang itu jatuh pada orang yang salah. Arjuna cenderung kaum sejenis!
Mula mengumpul kawan-kawan melalui laman sosial, Arjuna dan rakan-rakan ‘sealiran’ kerap keluar bersama menghabiskan masa terluang dengan bermacam-macam aktiviti.
Ketika bergelar mahasiswa, berbekalkan seraut wajah yang cute dan mulus, Arjuna menjadi perhatian kaum Adam yang lain. Zafrul (bukan nama sebenar), lelaki pertama cuba untuk memenangi hati Arjuna. Jejaka berusia 28 tahun itu terlalu meminati Arjuna dan ingin ‘menjaganya’.
“Pertemuan pertama dengan Zafrul merubah kehidupan saya secara total. Perkenalan dengannya mengubah persepsi saya tentang dunia gay. Saya semakin terbuai dalam kasih sayang dicurahkan Zafrul,” terang Arjuna yang cukup gembira apabila Zafrul menyayanginya sepenuh hati.
Hampir Bunuh Diri
Mengharap panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Segalanya musnah apabila Arjuna dapat mengesan kecurangan yang dilakukan Zafrul dengan orang lain. Terasa dunia gelap gelita tatkala diperlakukan sedemikian.
“Dia mengaku yang dia mempunyai hubungan dengan orang lain selain saya. Walaupun cuba untuk memaafkan kerana terlalu sayangkan dia, namun saya tidak dapat menahan perasaan marah dan kecewa,” luahnya lagi.
Ibarat orang tiada pedoman, Arjuna pernah mahu membunuh diri akibat terlalu kecewa dan tidak dapat menerima hakikat diduakan Zafrul. Sejak mengetahui kecurangan Zafrul, Arjuna menjadi serba tidak kena sehingga menjejaskan pelajarannya dan beberapa kali gagal dalam peperiksaan. Kata putus diambil, Arjuna menamatkan hubungannya dengan Zafrul.
Orang Baru
Tidak bernoktah di situ, setelah putus dengan Zafrul, Arjuna menemui cinta baru dan kali ini lebih meyakinkan. Baginya, si dia kali ini adalah cinta sejatinya. Nashrin (bukan nama sebenar) kini orang yang bertanggungjawab membahagiakan hidup Arjuna.
Hubungan yang sudah terjalin hampir tiga tahun ini terus mekar dan akui Arjuna mereka menjadi pasangan yang paling bahagia. Rasa sayang dan cinta di antaranya dengan Nashrin bukan berlandaskan nafsu semata-mata tetapi menurut Arjuna ia lebih kepada perasaan sayang dan keterujaan mahu menjaga pasangan dengan baik.
“Nashrin banyak memberi semangat dan inspirasi dalam meneruskan kehidupan. Berada di sampingnya membuatkan saya mampu melalui hari-hari saya dengan lebih gembira.
“Dia sangat mengambil berat dan baik hati. Saya sayangkan dia bukan kerana paras rupa atau harta tetapi kerana hatinya yang baik membuatkan saya berasa amat selesa, selamat dan sentiasa gembira berada di sampingnya,” cerita Arjuna yang menerima pasangannya itu seadanya dan begitulah sebaliknya.
Arjuna dan Nashrin seperti belangkas. Ke mana sahaja sentiasa saling berteman. Ibarat pasangan suami isteri, mereka tinggal dan melakukan kerja-kerja rumah bersama serta saling memberi sokongan antara satu sama lain.
Jangan Hanya Pandang Negatif
Arjuna ada sebab mengapa dia reda menjalani kehidupan sebagai seorang gay. Akuinya, dia lebih bahagia, gembira menyayangi lelaki berbanding wanita. Bukan tidak pernah ada naluri untuk jatuh cinta dengan wanita tetapi pengamatannya terhadap perangai wanita yang kadangkala merimaskan hanya membuatkan dirinya lemas dan tidak tahan melayan kerenah wanita.
“Apa yang saya nikmati sekarang sudah cukup membahagiakan. Memang saya faham ia salah di sisi agama. Tetapi tolak tepi dulu soal hukum, kenapa kita tidak melihat kepada banyak lagi perkara positif yang golongan seperti kami lakukan.
“Kami tidak mengganggu hidup orang lain, tidak berpelesiran di tepi-tepi jalan, tidak mencuri atau merompak malah kami mempunyai kerjaya yang baik dan menjalani rutin seharian sama seperti mana orang lain.
“Saya bukanlah meminta masyarakat menyanjung kami, cuma janganlah golongan seperti ini didiskriminasikan. Walaupun kami gay, ada sebab kenapa kami jadi begini. Biarlah orang di sekeliling mengutuk dan mengeji asalkan kami bahagia dengan dunia yang kami pilih,” tegasnya mengharapkan masyarakat tidak terlalu memandang hina kepada golongan gay kerana baginya hanya Allah yang layak menghakimi.

