PELAKON, pelawak dan penyampai radio, Shuib mengumumkan tidak akan menganjurkan majlis resepsi bagi meraikan perkahwinannya bersama Watie Hanifah pada 23 Jun ini.
Shuib ketika ditemui di sesi sidang media Walimatulurus Shuib dan Watie di Astro, Bukit Jalil, berkata, pada hari sama akan berlangsung tiga majlis berlainan.
“Untuk majlis pada 23 Jun nanti, akan ada majlis khatam Al-Quran, berinai dan majlis akad nikah. Tetapi, tidak akan ada majlis resepsi kerana ini adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
“Majlis ini kami adakan sederhana sahaja, tetapi, saya nak majlis akad nikah itu akan ada pelamin. Jadi, dapatlah bergambar bersama keluarga.
“Watie adalah anak dara dan ini perkahwinan pertamanya. Jadi, saya nak ini menjadi satu kenangan indah buat dia juga. Kami nak raikan semua orang terutamanya keluarga,” katanya keypada URTV.
Sementara itu, Shuib atau Shahmira Muhamad, 38 juga memaklumkan, hari bersejarahnya itu turut mendapat penajaan mencecah lebih RM1 juta.
“Untuk penajaan, ia membabitkan majlis khatam Al-Quran, berinai sehinggalah akad nikah. Nilainya mencecah lebih RM1 juta termasuklah barangan kemas.
“Tetapi, bukanlah semua ditaja sebab saya pun ada keluarkan kod sendiri juga,” jelasnya.
Majlis itu akan berlangsung di Putra Glass House, Putra Height dan terhad kepada 600 tetamu.
Lebih istimewanya, majlis berkenaan juga akan ditayangkan dalam siri mini terbaharu yang akan merakamkan detik manis serta perjalanan cinta pasangan ini dalam program Walimatulurus Shuib dan Watie.
Program tiga episod itu akan menemui penonton secara esklusif bermula 24 Jun, 9 malam di Astro Ria.
Terdahulu, pasangan Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

