Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh keputusan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) yang difailkan pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, 38.
Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah menetapkan tarikh itu pada sebutan semula kes hari ini dan akan meneliti alasan dikemukakan kedua pihak bagi memutuskan sama ada injunksi difailkan Syamsul akan dikekalkan atau diketepikan sehingga keputusan akhir.
Peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, anak guamnya akan memasukkan hujah sebelum 14 Ogos depan.
“Untuk keputusan injuksi yang Syamsul peroleh, kita maklumkan pada hakim dan pihak berbincang, kemungkinan perkembangan terakhir dan terkini pada 14 Ogos depan kalau semua berjalan lancar akan direkodkan.
“Mahkamah akan memutuskan sama ada ia (injuksi) dikekalkan sehingga keputusan akhir atau diketepikan. Mahkamah akan teliti alasan kedua pihak untuk terus buat injunksi sebab sebelum ini sebelah pihak sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, dalam prosiding hari ini, Syamsul dan Puteri Sarah tidak hadir ke mahkamah atas urusan peribadi dan hanya mewakilkan peguam syarie masing-masing.
Injunksi berkenaan bertujuan menghalang, melarang dan menegah Puteri Sarah sama sekali untuk memuat naik, mengeluarkan, menulis, menerbit, menyebarkan berhubung kes cerai dan nusyuz pasangan itu dalam apa juga bentuk dan medium.
Sementara itu, peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul ketika ditemui selepas prosiding hari ini turut mengesahkan perkara berkenaan untuk kedua-dua pihak memasukkan hujahan sebelum 14 Ogos depan atas perintah mahkamah.
“Pada masa sama, mahkamah turut membenarkan injuksi dilanjutkan sehingga 14 Ogos dan pada tarikh itu kedua-dua pihak (Syamsul dan Puteri Sarah) perlu memasukkan hujahan masing-masing.
“Anak guam iaitu Puteri Sarah membantah injunksi dikemukakan suaminya, Syamsul antaranya membabitkan kebebasan bersuara,” katanya.
Pada 26 Mei lalu, permohonan Syamsul melanjutkan perintah injunksi terhadap Puteri Sarah, diluluskan Mahkamah sama yang membenarkan perintah berkenaan berkuatkuasa sehingga hari ini dan atau sehingga kes inter-parte didengar atau diputuskan kelak.
Mahkamah meluluskan permohonan Syamsul melanjutkan tempoh masa perintah ex-parte bertarikh 27 April berdasarkan Seksyen 238 Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dengan pindaan kepada perintah ex-parte terbabit.
Mahkamah antara lain memerintahkan Puteri Sarah dihalang, dilarang atau ditegah bertindak mengeluarkan, memuat naik, menyiarkan, menulis, menerbitkan, menyebarkan, mengedarkan, menghebahkan atau menyalurkan apa-apa kenyataan, tulisan fitnah, maklumat, komen, gambar dan atau klip video di mana-mana laman media sosial, media cetak dan atau media elektronik.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.
Sumber: BH Online

